'Arwah anak berhasrat adakan tahlil, sedekah nasi goreng dimasak sendiri ke masjid'

'Arwah anak berhasrat adakan tahlil, sedekah nasi goreng dimasak sendiri ke masjid'

am@hmetro.com.my

Tanjong Karang: “Sebelum arwah meninggal dunia, dia berhasrat untuk mengadakan tahlil di masjid dan sedekahkan nasi goreng yang dimasaknya sendiri.

“Tak sangka itu petanda arwah hendak pergi meninggalkan saya,” kata Sarifah Mokhtar.

Sarifah, 71, adalah ibu kepada Zamri Ahmad Mahyuddin, 44, pembantu am di Pejabat Umno Bahagian Tanjong Karang yang maut dalam kemalangan di Sungai Burong pada 27 September lalu.

Ketika kejadian, Zamri dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat Jumaat ke tempat kerja sebelum motosikal ditunggang terbabas dan melanggar tiang elektrik.

Wanita warga emas itu berkata, dia reda dengan pemergian anak tunggalnya itu dan menganggap ia ketentuan Allah SWT.

“Arwah sebelum ini pernah berkahwin namun bercerai pada 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

“Semasa hayatnya, dia disifatkan seorang yang ringan tulang tanpa mengira waktu dan tidak pernah membantah cakap saya.

“Sebagai ibu, rasa sedih itu masih ada kerana arwah satu-satunya anak lelaki saya,” katanya ketika ditemui pada program penyampaian Kotak Prihatin Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini, hari ini.

Pada program itu, Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim menyampaikan Faedah Pengurusan Jenazah bernilai RM 1,500 serta Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM 360 sebulan.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak.

Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau menyifatkan Zamri seorang yang baik dan berdedikasi dalam menjalankan tugas.

“Pemergian arwah satu kehilangan besar kepada kami kerana dia sudah bekerja sejak empat tahun lalu. Semoga keluarganya diberikan ketabahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top