'Arwah bapak sanggup goreng ikan beri makan 15 kucing' – Lia Natalia

'Arwah bapak sanggup goreng ikan beri makan 15 kucing' – Lia Natalia

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun sudah lebih 70 hari bapanya meninggal dunia, pelakon Lia Natalia sehingga ke hari ini masih merindukan sosok lelaki tercintanya itu dan berkongsi antara detik paling diingati bersama Allahyarham Abden Aben.

Menurut Lia, antaranya sikap bapanya, Abden yang suka berkongsi rezeki dengan berbelas ekor kucing di sekitar kediaman mereka di Tawau, Sabah.

“Setiap hari, ayah menggoreng ikan semata-mata untuk diberi kepada 15 ekor kucing jiran. Pernah saya menegur, ‘Pak, tak penatkah hari-hari goreng ikan untuk kucing bukan milik kita?’.

“Ayah menjawab tenang, ‘biarkan, Lia’. Mereka juga makhluk Allah. Esok-esok, bila kita mati, mungkin doa makhluk inilah yang mengiringi kita’,” katanya kepada Harian Metro.

Lia turut meluahkan rasa syukur kerana urusan membawa pulang jenazah bapanya dari Kota Kinabalu ke Tawau dipermudahkan selepas Abden menghembuskan nafas terakhir pada 21 Mac lalu.

“Sewaktu bapak sakit selepas serangan jantung pun, urusannya dipermudahkan kerana saya berjaya meminjam helikopter seorang kenalan untuk membawanya ke Kota Kinabalu. Itu pun antara impiannya, nak menaiki helikopter.

“Selepas bapa meninggal dunia, kalau menggunakan jalan darat dari Kota Kinabalu ke Tawau, mengambil masa lebih kurang 15 jam. Tapi, bantuan Allah sampai melalui sahabat yang menghubungi saya.

“Katanya, jangan risau kerana dia akan bantu untuk dapatkan kenderaan jenazah dan boleh bawa pulang menaiki Maskargo. Satu lagi perkara yang dipermudahkan Allah, ada rezeki untuk kami sekeluarga sebab dalam pesawat, ada lapan tempat duduk yang masih kosong.

“Kami pun tak sangka, kami dan bapa menaiki pesawat sama untuk pulang ke Tawau. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” katanya ditemui baru-baru ini.

Terbaharu, Lia menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Jarum Halus arahan pengarah Ng Ken Kin.

Selain Lia, drama itu turut dibintangi barisan pelakon antaranya Emelda Rosmila, Zera Hariz, Shasha Abedul, Alif Hadi, Mathni Razak dan ramai lagi.

#kw Lia Natalia, pelakon, sikap baik Allahyarham bapa Abden Aben

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top