Arwah isteri tak pernah merungut, hanya tumpu cari rezeki – Harun Hashim

Arwah isteri tak pernah merungut, hanya tumpu cari rezeki – Harun Hashim

mohamadridzuan@hmetro.com.my

 

Puncak Alam: “Saya dah tahu dia akan pergi (meninggal dunia) pada bila-bila masa dan reda dengan ketentuan takdir. Doktor pun dah beritahu dari awal dia tak akan pulih,”. 

Demikian kata pelakon veteran, Harun Hashim, 68, mengulas kematian isterinya, Sakinah Ganjali, 48, yang menghembuskan nafas terakhir di 

Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini jam 9.45 pagi tadi akibat kanser payudara tahap empat.

Harun berkata, isterinya seorang yang terlalu baik dan kehidupan mereka sebelum ini hanya berkisarkan mahu mencari wang untuk menyara hidup. 

“Kami tak pernah berbual soal hidup atau mati dan hanya fikir untuk cari wang. Dia bangun jam 3.30 pagi macam biasa untuk memasak. 

“Sampai akhir hayatnya dia masih berniaga sampai petang dan hanya sampai rumah pada tengah malam. Itulah pengorbanan dia untuk saya.

“Akhirnya dia jatuh sakit dan terpaksa dirujuk untuk dapat rawatan tradisional dan kemudian hospital,” katanya kepada Harian Metro. 

Bercerita lanjut, Harun mengakui kehilangan seorang isteri dan rakan yang banyak memberi semangat dalam hidupnya selama ini. 

“Memang terasa sangat kehilangannya kerana dia jaga saya 12 tahun semasa saya sakit. Angkat saya ke bilik air untuk mandi dan buang air serta sebagainya,” katanya sedih. 

Menurutnya, Sakinah berhasrat mahu menjaganya sehingga ke hujung nyawanya. 

“Dia kata kalau saya tua dan sakit pun, dia akan uruskan saya. Itu perjanjian dia dengan saya. Mungkin sebab itu di tak pernah sakit walaupun demam. Kalau ada pun hanya setakat sakit gigi. 

“Tapi sakit seperti tanda-tanda kanser payudara memang tiada langsung. Yang ini (kanser payudara) dah saat akhir baru tahu. Tapi dah agak terlambat. 

“Saya berasa sedih sangat dia pergi. Apa boleh buat dia seorang yang baik, sangat baik. Tak berkira soal kepayahan hidup saya,” katanya. 

Harun menjelaskan pernah melalui zaman susah sehingga terpaksa mengutip tin dan Sakinah setia menemaninya. 

“Dia suka sangat tolong saya. Subuh-subuh kami pergi kutip tip tapi tutup muka dengan serkup. Itulah pengorbanan besarnya. 

“Kemudian waktu rumah kami tiada air, dia sanggup pergi Taman Rimba Templer untuk basuh baju. Perkara itu berlaku selama seminggu dan dia tak pernah merungut. 

“Dirinya begitu dan bukan kerana saya dia berkorban. Saya sentiasa mendoakan dia semoga tenang di sana,” katanya. 

Sementara itu, beberapa artis tanah air antaranya Ameng Spring dan isterinya Sabariah, Zamarul Hisham dan isterinya, Diana Rafar, Syed Aiman dan isterinya Linda Rafar serta Azlee Senario dan isterinya, Aslinda turut hadir memberikan semangat kepada Harun serta memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Sakinah di Unit Forensik hospital terbabit. 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top