najiy.jefri@hmetro.com.my
Kajang: Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran (YKAT), Datuk DJ Dave, 76, memaklumkan Allahyarham Datuk S Atan adalah sahabat yang setia.
DJ Dave atau nama sebenarnya, Irwan Shah Abdullah berkata, Allahyarham juga tidak pernah berkira dalam membantu rakan seperjuangan yang memerlukan pertolongan.
“Ketika saya menjayakan konsert di Istana Budaya, dia pernah menawarkan diri untuk bermain muzik.
“Dia cakap nak mengiringi semua lagu dengan hanya bermain piano. Tak sangka dia membawakan 35 lagu dengan baik walaupun tanpa latihan,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Taman Bukit Baru, di sini, malam ini.
Menurut DJ Dave, Allahyarham juga seorang komposer yang hebat dan setiap naskhah yang dihasilkan berjaya mencipta fenomena.
“Arwah yang mencipta lagu raya saya, Menjelang Hari Raya dan lagu itu popular hingga hari ini.
“Selain itu, dia juga yang cipta lagu Kawan Yang Setia. Masa mula-mula dapat jalan cerita lagu ini, ia ditulis dalam bahasa Inggeris.
“Bila saya baca, ia sangat menyentuh hati terutama rangkap ‘waktu ku senang, ramai teman dan saudara. Waktu ku jatuh, sudah mereka menjauh’.
“Saya sangat terharu dan berterima kasih kerana lagu itu menjadi popular,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi era 1970-an itu menyifatkan pemergian komposer itu sebagai kehilangan besar dalam industri seni.
“Kita kehilangan tokoh muzik tersohor dan pemergian Allahyarham sukar diganti,” katanya.
S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, 75, meninggal dunia di kediamannya di Kajang, petang ini akibat komplikasi jantung..
© New Straits Times Press (M) Bhd



