am@hmetro.com.my
Dungun: “Abang tak pernah pergi bermain jauh dari kawasan rumah. Remuk hati saya bila dimaklumkan dia lemas di pantai itu,” kata Muhayaton Abdullah selepas anaknya itu lemas ketika mandi di Pantai Teluk Lipat, dekat sini, petang tadi.
Anaknya, Mohamad Atiff Farrouqi Zainudin, 11, dan rakannya, Muhammad Danish Mikaill Abdullah, 9, lemas selepas dihanyutkan arus kuat ketika mandi kira-kira jam 3 petang.
Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka, Ahmad Aril Farhan Mat Zain, 11, selamat selepas berjaya berenang ke darat.
Muhayaton, 51, berkata, arwah anak ke tujuh daripada lapan beradik sempat meminta izin keluar bermain kira-kira jam 10 pagi.
“Dia beritahu nak pergi bermain dan meminta saya menggosok baju kemejanya kerana dia nak bergaya macam orang pergi kenduri.
“Dia keluar dari rumah dalam keadaan nampak bergaya dan saya sama sekali tidak menyangka dia nak pergi meninggalkan saya,” katanya.
Katanya, kira-kira jam 2 petang, hatinya sangat risau bila anaknya itu tidak pulang makan tengah hari namun tidak mencarinya itu kerana menganggap dia bermain tidak jauh dari rumah.
“Kira-kira jam 3.30 petang, Ahmad Aril Farhan dalam keadaan cemas datang ke rumah memaklumkan abang lemas.
“Saya bergegas ke pantai dan tidak sampai satu jam mayat abang ditemui. Remuk hati saya,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Mikaill Abdullah, Nurul Maisarah Shaari, 34, berkata, anaknya itu beria-ria meminta supaya dihantar ke rumah neneknya di Kampung Alur Tembesu.
“Sebelum ini dia hanya duduk membantu saya menjual cendol dan saya akur dengan permintaan menghantar dia ke rumah neneknya kira-kira jam 1 tengah hari.
“Saya mendapat berita berlaku kejadian lemas daripada seorang rakan yang datang ke gerai cendol dan saya tak tahu anak saya yang lemas,” katanya.
Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada seorang rakannya yang tinggal berjiran dengan ibunya yang memaklumkan anaknya itu lemas kira-kira jam 4.30 petang.
“Saya pada mulanya tidak percaya dan sebaik sampai di pantai itu bila lihat selipar anak saya, barulah saya percaya anak saya lemas,” katanya.
Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya jam 10.35 malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd