am@hmetro.com.my
Johor Bahru : “Arwah seorang yang penyayang, pemurah dan sentiasa mendahulukan orang lain sebelum dirinya”.
Demikian luahan pilu Shuhada Alam Shah, 34, isteri kepada Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ), Muhammad Ariff Haron yang maut dalam kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini semalam.
Shuhada berkata, arwah suaminya yang juga Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Johor dikenali sebagai insan peramah, mesra dan mudah didekati sesiapa sahaja.
“Arwah memang suka beri salam dahulu apabila jumpa orang, sentiasa senyum dan tak pernah sombong.
“Petanda sebelum pemergian arwah memang susah kita nak sedar. Bila sudah meninggal dunia kadang barulah kita cari balik tanda tanda dan perangai pelik.
“Sahabat arwah yang perasan tanda sebelum arwah pergi, yang mana arwah ada memohon sahabatnya untuk mendoakannya dan memeluk erat sebelum pulang ke rumah,” katanya.
Menurutnya, arwah yang juga seorang mutawwif sangat rapat dengan tiga anak mereka berusia antara dua hingga lima tahun.
Malah katanya arwah juga sangat gembira sebaik dimaklumkan dia mengandung anak keempat.
“Arwah selalu pesan pada anak-anaknya supaya sentiasa menjaga solat walaupun masih kecil.
“Setiap kali arwah keluar pergi kerja, ke kuliah, ceramah atau umrah (mutawwif), arwah akan pesan supaya saya jaga anak-anak.
“Beberapa hari sebelum ini, arwah ada minta doakan dirinya diberikan kesihatan kerana merasa letih.
“Tetapi arwah tetap kuatkan diri utk membuat segala kebaikan selagi hidupnya ada,” katanya yang mengandung dua bulan.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tiram, semalam.
Allahyarham meninggalkan isteri dan tiga cahaya mata iaitu Siti Maryam, 5; Muhammad Zaid, 4 dan Muhammad Suhail, 2 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd



