Aryna anggap tidak adil benarkan penyertaan pemain transgender

Aryna anggap tidak adil benarkan penyertaan pemain transgender

Paris: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, menyuarakan pendirian lantang berhubung polisi penyertaan atlet transgender dalam Jelajah WTA, dengan menyifatkan ia ‘tidak adil’ kepada pemain wanita.

Bercakap dalam program Piers Morgan, Aryna ditanya sama ada dia sehaluan dengan legenda tenis Martina Navratilova, yang menentang penyertaan wanita transgender dalam kejohanan WTA.

“Itu soalan rumit,” kata pemain Belarus itu.

“Saya tiada masalah dengan mereka, tetapi saya rasa mereka masih mempunyai kelebihan besar berbanding wanita (yang tidak melalui proses transisi).

“Dan saya fikir ia tidak adil apabila wanita perlu berdepan seseorang yang secara biologi lebih kuat. Ia tidak adil.”

Aryna, yang bakal beraksi dalam perlawanan pertunjukan ‘Battle of the Sexes’ menentang Nick Kyrgios di Dubai hujung Disember ini, menambah: “Wanita bekerja sepanjang hidup untuk capai tahap maksimum mereka, kemudian perlu berdepan lelaki yang secara biologi lebih kuat. Saya tak setuju dengan perkara seperti ini dalam sukan.”

Polisi WTA membenarkan penyertaan wanita transgender di bawah syarat tertentu, antaranya tahap testosteron dalam darah perlu berada di bawah 2.5 nanomol seliter selama dua tahun, selain menyerahkan deklarasi identiti gender kepada badan itu.

Setakat ini, tiada pemain transgender yang beraksi pada peringkat tertinggi Jelajah WTA.

Antara tokoh yang pernah bersaing pada tahap profesional ialah Renee Richards, yang lahir sebagai Richard Raskind pada 1934.

Selepas beraksi dalam Terbuka Amerika Syarikat kategori lelaki pada 1950-an, Renee memulakan karier kedua dalam kategori wanita pada hujung 1970-an sebelum bersara pada 1981 dan kemudian menjadi jurulatih kepada Martina.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top