Indian Wells, Amerika Syarikat: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka menewaskan Jaqueline Cristian dari Romania 6-4, 6-1, awal pagi tadi untuk menentang bekas juara Naomi Osaka pada pusingan keempat di Indian Wells.
Pemain Jepun, Naomi yang diundi di tempat ke-16, menang 6-1, 3-6, 6-1 ke atas Camila Osorio sekali gus membalas kekalahan pada pusingan pertama kepada pemain Colombia itu tahun lalu.
Aryna sedang mengejar gelaran pertama dalam kejohanan prestij ATP dan WTA Masters 1000 selepas dua kali tewas di final.
Naomi pula memenangi gelaran pertamanya di Indian Wells pada 2018 dan kemudian menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada tahun sama, termasuk kemenangan ke atas Sabalenka. Itu satu-satunya pertemuan antara kedua-dua pemain itu setakat ini dan masing-masing juara empat Grand Slam.
“Saya akan ada peluang untuk membalas dendam, harapnya,” kata Aryna selepas mencipta 23 ‘winner’ ketika menentang Jaqueline, yang berada di ranking ke-35.
Terdapat beberapa kesilapan, termasuk kesalahan berganda pada ‘break point’ ketika pemain Belarus itu melakukan servis set pertama. Aryna membalas dengan memecahkan servis Jaqueline untuk memenangi set tersebut dan berpuas hati dengan prestasi dominan.
“Saya tahu dia tidak akan mudah menyerah,” katanya. “Itulah sebabnya saya sangat fokus, terutama pada servissaya. Saya tidak mahu beri peluang kepadanya, jadi sangat gembira dengan serve, permainan, dan tentu saja kemenangan.”
Naomi bermain dalam kejohanan pertamanya sejak menarik diri sebelum perlawanan pusingan ketiga Terbuka Australia akibat kecederaan abdomen, menguasai set pertama dan memecahkan servis Camila tiga kali.
Pemain Colombia itu mula menemui rentak dalam set kedua dan dengan keyakinan baru memberi tekanan kepada Naomi tetapi pemain Jepun itu bangkit memecahkan servis lawan untuk mendahului 3-0 dalam set ketiga dan menamatkan perlawanan tanpa break point lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




