Wuhan: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, meneruskan rekod tanpa kalahnya di Terbuka Wuhan kepada 20 perlawanan selepas menewaskan Elena Rybakina 6-3, 6-3 hari ini, sekali gus mengekalkan misi memburu kejuaraan keempat berturut-turut.
Dalam pertembungan ke-13 antara kedua-dua bintang tenis itu, termasuk final Terbuka Australia 2023, Aryna sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila mematahkan servis Elena pada permainan kelapan hasil pukulan forehand kencang yang sukar dijangka.
Pemain Belarus itu, yang sebelum ini menjuarai Terbuka Wuhan pada 2018, 2019 dan 2023 (selepas kejohanan kembali dianjurkan pasca pandemik COVID-19), menutup set pertama dengan tenang sebelum sekali lagi merampas servis lawan di awal set kedua untuk mengukuhkan cengkamannya.
Walaupun sedikit goyah pada penghujung perlawanan, Aryna tetap memastikan kemenangan bersih dan kini memperbaiki rekod pertemuan dengan Elena kepada 8-5, sekali gus membalas dendam kekalahan di Cincinnati, Ogos lalu.
Seterusnya, Aryna bakal berdepan Jessica Pegula di separuh akhir selepas pemain Amerika Syarikat (AS) itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan Katerina Siniakova 2-6, 6-0, 6-3, kemenangan ke-50 musim ini yang turut melonjakkan peluangnya ke WTA Finals bulan depan.
Aryna memiliki rekod cemerlang menentang Jessica dengan lapan kemenangan daripada 10 pertemuan, termasuk kejayaan dalam final Terbuka AS tahun lalu.
Sementara itu, pemain Jerman Laura Siegemund dijadual menentang pilihan ketiga AS, Coco Gauff, dalam satu lagi aksi suku akhir, manakala pilihan kedua dari Poland, Iga Swiatek, bakal bertemu pilihan ketujuh Itali, Jasmine Paolini, dalam ulangan final Terbuka Perancis 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




