Paris: Pemain Belarus Aryna Sabalenka berkata, dia berharap dapat kekal lebih lama di puncak ranking dunia berbanding sebelum ini selepas kembali merampas kedudukan nombor satu WTA, semalam.
Pemain berusia 26 tahun itu memintas juara Terbuka Perancis dari Poland Iga Swiatek, 23, selepas penyesuaian dalam carta berdasarkan jumlah kejohanan WTA 500 disertai Aryna lebih banyak berbanding Iga.
Peraturan WTA mensyaratkan pemain perlu menyertai beberapa kejohanan dan dipotong mata jika tidak mematuhinya. Kedua-dua pemain, Aryna dan Iga tidak bertanding enam aksi mandatori WTA 500 tetapi pemain Belarus itu berkelebihan empat perlawanan berbanding Iga dua.
Aryna yang juga juara Terbuka AS dan Terbuka Australia musim ini hanya lapan minggu di puncak ranking pada September 2023.
“N1…,” katanya di X, sebelum ini Twitter. “Kita tengok berapa lama ia boleh bertahan kali ini,” tambahnya lagi.
Aryna hanya tewas sekali sejak pertengahan Ogos sebelum muncul juara di Flushing Meadows dan kejohanan seterusnya mungkin Final WTA di Arab Saudi pada 2-9 November.
Iga yang menjuarai Roland Garros tiga kali berturut-turut pada Jun menduduki puncak ranking sejak akhir tahun lalu.
Empat pemain teratas yang lain kekal tidak berubah dengan Coco Gauff, Jessica Pegula, dan Elena Rybakina mengisi tempat berkenaan manakala Daria Kasatkina melonjak ke kelompok 10 terbaik di tempat kesembilan, menyingkirkan Danielle Collins ke tangga ke-11.
© New Straits Times Press (M) Bhd




