New York: Pemain nombor dua dunia, Aryna Sabalenka, mara ke final Terbuka AS untuk kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Emma Navarro dalam usahanya meraih gelaran Grand Slam ketiganya.
Juara dua kali Terbuka Australia, Aryna menang ke atas pilihan ke-13 dari Amerika, 6-3, 7-6 (7/2) dan akan menentang sama ada Jessica Pegula dari Amerika Syarikat atau Karolina Muchova dari Republik Czech dalam perlawanan akhir Ahad ini.
Emma yang bermain di separuh akhir pertamanya di kejohanan utama cuba memberi tentangan apabila bangkit daripada ketinggalan 3-5 pada set kedua untuk membawa perlawanan ke penentuan tiebreak.
Bagaimanapun pengalaman dimiliki Aryna membolehkannya mengatasi pemain dari Amerika berusia 23 tahun itu yang mendapat sokongan padu daripada penonton.
“Kawan-kawan, sekarang kamu bersorak untuk saya. Wah. Tapi sudah terlambat,” kata Aryna kepada penonton Stadium Arthur Ashe.
“Ia benar-benar bermakna dan walaupun kamu menyokongnya, saya tetap gembira kerana anda semua bersorak. Ia adalah satu suasana yang luar biasa.”
Dia menambah: “Saya tidak kisah siapa yang saya hadapi di final kerana hari ini adalah ujian yang baik untuk penonton yang bersorak untuk lawan saya apapun saya tidak peduli. Saya bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Pemain Belarus yang berpangkalan di Florida itu, muncul naib juara selepas tewas kepada Coco Gauff dari AS di New York tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




