Aryna mudah ke final

Aryna mudah ke final

Melbourne: Pemain Belarus, Aryna Sabalenka, mara ke final Terbuka Australia buat kali keempat berturut-turut selepas mencatat kemenangan dominan ke atas pemain Ukraine, Elina Svitolina dalam perlawanan separuh akhir hari ini.

Tiada jabat tangan selepas perlawanan apabila Aryna, pemain nombor satu dunia, menang 6-2, 6-3 dan kini akan berdepan sama ada Elena Rybakina atau Jessica Pegula untuk memburu gelaran ketiga di Melbourne.

Kekalahan itu menafikan peluang Elina, pilihan ke-12 kejohanan, untuk mencipta sejarah sebagai wanita pertama dari Ukraine yang mara ke final perseorangan Grand Slam dalam era Terbuka.

Seperti pemain Ukraine lain, Elina tidak berjabat tangan dengan lawan dari Rusia atau sekutunya Belarus susulan perang yang sedang berlaku.

Satu pengumuman dibuat sebelum perlawanan di Rod Laver Arena, dan kenyataan turut dipaparkan di skrin besar bahawa tiada jabat tangan akan dilakukan, sambil meminta peminat supaya “menghormati” keputusan itu.

Kedua-dua pemain juga jelas menjaga jarak semasa sesi formaliti pra-perlawanan dan sesi bergambar.

Aryna hampir menitiskan air mata selepas perlawanan ketika mengulas tentang kehidupan “impian” yang sedang dilaluinya.

Dia turut memberikan penghormatan kepada Elina.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, dia lawan yang sangat sukar. Dia bermain tenis yang luar biasa sepanjang minggu ini,” katanya. “Tetapi kerja saya belum selesai lagi.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top