Melbourne: Pilihan utama, Aryna Sabalenka, membuka laluan ke pertembungan pusingan ketiga menentang Emma Raducanu di Terbuka Australia selepas mencatat kemenangan straight set ke atas pemain kelayakan dari China, Bai Zhuoxuan, hari ini.
Pemain nombor satu dunia itu menewaskan Bai 6-3, 6-1, dalam perlawanan yang pada satu ketika hampir berakhir lebih pantas.
Juara Terbuka Amerika Syarikat 2021 dari Britain, Emma, dijadualkan berdepan pemain kelahiran Russia yang mewakili Austria, Anastasia Potapova, lewat Rabu di Melbourne Park, dengan Aryna sudah menanti sebagai cabaran besar.
Aryna dilabel pilihan utama untuk memenangi gelaran Terbuka Australia buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun, selepas tewas di pentas final 12 bulan lalu kepada Madison Keys.
“Lawan yang mencabar. Saya sangat gembira dapat menutup set pertama. Ia beri keyakinan bahawa permainan dan fokus saya berada pada tahap yang betul.
“Langkah demi langkah. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Sentiasa ada ruang untuk diperbaiki,” kata pemain dari Belarus itu.
Aryna memenangi sembilan mata berturut-turut untuk mendahului 2-0 di Arena Rod Laver menentang lawan yang berada di ranking ke-702 dunia.
Dalam tempoh lapan minit, kedudukan menjadi 3-0, kemudian 5-0, dengan Aryna jelas mahu menamatkan perlawanan secepat mungkin.
Namun Bai yang berusia 23 tahun, beraksi dalam perlawanan terbesar dalam kariernya, berjaya mengawal semula emosi sebelum mempertahankan servis pertamanya.
Bai kemudian mengejutkan gelanggang utama apabila mematahkan servis Aryna untuk merapatkan jurang kepada 5-2, sebelum mempertahankan servis sendiri bagi menjadikan kedudukan 5-3.
Juara Terbuka Amerika Syarikat itu mula menunjukkan tanda kekecewaan apabila beberapa mata set gagal dimanfaatkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




