Melbourne: Aryna Sabalenka menjadi sensasi internet selepas menunjukkan aksi tarian di atas gelanggang pada kejohanan Terbuka Australia, semalam.
Selepas menewaskan Sloane Stephens dengan kemenangan straight set 6-3, 6-2, Aryna dijemput oleh pengacara di gelanggang, Jelena Dokic, untuk meniru semula rutin tarian TikTok bersama pasukannya.
“Saya bukan penari terbaik, tetapi saya akan cuba yang terbaik. Tetapi hanya jika seluruh penonton turut serta,” kata pemain nombor satu dunia itu, yang kelihatan sedikit terkejut selepas video media sosial pra-kejohanan dimainkan di Rod Laver Arena.
Dengan penuh keterujaan, penonton yang memenuhi Rod Laver Arena menyambut cabarannya.
Juara bertahan dua kali itu akhirnya mengalah, menari bersama beberapa peminat yang turut memeriahkan malam pembukaan di Melbourne Park.
Pelakon terkenal Australia, Rebel Wilson, yang berada di kalangan penonton, turut dilihat menari, sementara Aryna dan Jelena memeriahkan suasana dengan tarian mereka.
Namun, Aryna mengakui dia lebih selesa dengan pergerakan tenisnya.
“Sekarang mereka ada bukti saya adalah penari paling teruk,” katanya sambil ketawa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




