AS arah kakitangan keluar dari 6 negara Arab

AS arah kakitangan keluar dari 6 negara Arab
AS arah kakitangan keluar dari 6 negara Arab

Jabatan Negara Amerika Syarikat mengarahkan kakitangan di perwakilan Amerika Syarikat (AS) di Kuwait, Iraq, UAE, Qatar, Bahrain dan Jordan supaya meninggalkan negara mereka bertugas dengan alasan “ancaman konflik bersenjata”. Foto Agensi

ISTANBUL – Jabatan Negara Amerika Syarikat mengarahkan kakitangan bukan petugas utama di perwakilan Amerika Syarikat (AS) di Kuwait, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Jordan supaya meninggalkan negara mereka bertugas dengan alasan “ancaman konflik bersenjata” dan “kebimbangan keselamatan” susulan konflik ketenteraan dengan Iran, lapor Anadolu Ajansı (AA).

Jabatan itu turut menggesa rakyat AS di negara itu agar memantau media tempatan serta amaran rasmi AS untuk mendapatkan maklumat terkini.

Terdahulu, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuwait pada Selasa memaklumkan yang ia “akan ditutup sehingga diberitahu kelak” susulan ketegangan serantau yang berterusan.

“Kami membatalkan semua  janji temu konsular biasa dan kecemasan. Kami akan memaklumkan apabila kedutaan kembali beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan kedutaan itu menerusi platform media sosial X.

Dalam nasihat perjalanan bagi Iraq, Kedutaan Amerika Syarikat di Baghdad turut memaklumkan yang Jabatan Negara mengarahkan kakitangan bukan petugas utama “meninggalkan Iraq atas faktor keselamatan.”

“Oleh kerana kebimbangan keselamatan, kakitangan kerajaan AS di Baghdad dilarang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad,” menurut kenyataan itu lagi.

Perkembangan itu berlaku ketika kempen ketenteraan AS-Israel yang dilancarkan terhadap Iran pada Sabtu dilaporkan membunuh beberapa pegawai kanan Iran, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.

Sebagai tindak balas, Teheran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara serantau yang menempatkan aset AS. – Bernama- Anadolu

Ringkasan AI

  • Jabatan Negara Amerika Syarikat mengarahkan kakitangan bukan petugas utama di perwakilan AS di Kuwait, Iraq, UAE, Qatar, Bahrain dan Jordan supaya meninggalkan negara bertugas kerana ancaman konflik bersenjata
  • Rakyat AS di negara tersebut disarankan untuk memantau media tempatan dan amaran rasmi AS
  • Kedutaan Amerika Syarikat di Kuwait dibatalkan semua janji temu konsular biasa dan kecemasan hingga pemberitahuan selanjutnya
  • Nasihat perjalanan bagi Iraq menyebut kakitangan bukan petugas utama disarankan meninggalkan Iraq atas faktor keselamatan
  • Perkembangan ini timbul akibat kempen ketenteraan AS-Israel terhadap Iran yang mengakibatkan kematian pegawai kanan Iran dan serangan balasan dari Teheran
Scroll to Top