WASHINGTON: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat semalam membenarkan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 ke atas remaja berusia 12 hingga 15 tahun.
Pemangku Pesuruhjaya FDA, Janet Woodcock menyifatkan keputusan itu sebagai langkah penting dalam memerangi pandemik COVID-19.
“Tindakan hari ini memungkinkan penduduk yang lebih muda dilindungi daripada COVID-19, mendekatkan kita untuk kembali ke kehidupan normal, sekali gus mengakhiri wabak.
“Ibu bapa dan penjaga boleh menaruh yakin bahawa agensi melakukan penelitian yang ketat dan teliti terhadap semua data yang ada, seperti yang kami miliki dengan semua kebenaran penggunaan kecemasan vaksin COVID-19,” katanya dalam kenyataan.
FDA sebelum ini memberikan kebenaran penggunaan kecemasan untuk vaksin Pfizer-BioNTech kepada individu berusia 16 tahun ke atas.
“Membenarkan penggunaan vaksin dalam kalangan populasi yang lebih muda adalah langkah penting untuk terus mengurangkan beban kesihatan awam yang sangat besar disebabkan pandemik COVID-19,” kata Pengarah Pusat Penilaian dan Penyelidikan Biologi FDA, Peter Marks,
Menurut FDA, kira-kira 1.5 juta kes COVID-19 membabitkan individu berusia 11 hingga 17 tahun dilaporkan ke Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit antara 1 Mac 2020 hingga 30 April lalu.
Jangkitan terhadap golongan itu lebih ringan, namun mereka boleh menyebarkannya kepada orang dewasa dan yang lebih rentan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd