AS, China adakan perbincangan perdagangan di London pada 9 Jun – Trump

AS, China adakan perbincangan perdagangan di London pada 9 Jun – Trump

Washington: Amerika Syarikat (AS) dan China akan mengadakan pertemuan di London pada 9 Jun bagi membincangkan isu perdagangan, umum Presiden AS Donald Trump pada Khamis.

Dalam hantaran di Truth Social, Trump berkata, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick, dan Duta Perwakilan Perdagangan AS, Jamieson Greer akan mewakili Washington dalam pertemuan itu, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick, dan Wakil Perdagangan AS, Duta Jamieson Greer akan bertemu dengan wakil China di London pada Isnin, 9 Jun 2025 bagi membincangkan Perjanjian Perdagangan,” kata Trump.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Trump mengadakan perbualan telefon dengan Presiden China Xi Jinping di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang berterusan dan perselisihan mengenai eksport mineral nadir bumi.

Washington dan Beijing pada 12 Mei lalu menandatangani perjanjian sementara selama 90 hari untuk mula menarik balik sebahagian tarif tinggi yang dikenakan antara satu sama lain sejak Trump kembali memegang jawatan Presiden pada Januari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top