Paris: Amerika Syarikat (AS) mencipta rekod dunia baharu dalam saringan lari berganti-ganti 4x400m campuran di Sukan Olimpik Paris, hari ini.
Kuartet dibarisi Vernon Norwood, Shamier Little, Bryce Deadmon dan Kaylyn Brown mencatat masa 3 minit 07.41 saat, memecahkan rekod terbaik sebelum itu 3:08.80s yang dilakukan ketika AS memenangi emas di Kejohanan Dunia dekat Budapest tahun lalu.
“Kami mahu datang ke sini dan melakukan penyerahan baton dengan baik. Kami memenuhi impian dengan melakar rekod dunia itu,” kata Norwood.
Shamier menambah: “Kami mempunyai pelari lelaki dan wanita yang sangat bagus. Saya sangat teruja, pertama sekali kerana rekod ini dan ia dilakukan pada pusingan awal, jadi ia hanya akan menjadi lebih baik dari sini.”
Rekod kebangsaan juga dilakar Perancis (3:10.60s), Belgium (3:10.74s), dan Jamaica (3:11.06s) yang masing-masing menduduki tempat kedua, ketiga, dan keempat.
Britain memenangi saringan kedua dengan catatan masa 3:10.61s yang juga rekod kebangsaan, di hadapan Belanda dan Itali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




