AS dedah lebih 230,000 dokumen berkaitan pembunuhan Dr Martin Luther King Jr

AS dedah lebih 230,000 dokumen berkaitan pembunuhan Dr Martin Luther King Jr
Pemimpin hak sivil terkenal, Dr Martin Luther King Jr ditembak mati pada 4 April 1968 di Memphis, Tennessee pada usia 39 tahun. - Gambar fail AP

Pemimpin hak sivil terkenal, Dr Martin Luther King Jr ditembak mati pada 4 April 1968 di Memphis, Tennessee pada usia 39 tahun. – Gambar fail AP

WASHINGTON – Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (DNI), Tulsi Gabbard pada Isnin mengumumkan pendedahan lebih 230,000 halaman dokumen berkaitan pembunuhan tokoh hak sivil Dr Martin Luther King Jr (MLK), lapor Anadolu Ajansi.

“Dokumen-dokumen ini mengandungi butiran mengenai siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) terhadap pembunuhan itu,” kata Gabbard menerusi platform X.

Pendedahan itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kehakiman (DOJ), FBI, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Arkib Negara, sebagai pelaksanaan kepada perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang mengarahkan ketelusan berhubung pembunuhan Martin Luther King Jr, bekas Presiden John F. Kennedy (JFK) dan Senator Robert F. Kennedy (RFK).

Martin Luther King Jr maut ditembak pada 4 April 1968 ketika berdiri di balkoni Motel Lorraine di Memphis, Tennessee. 

Beliau ketika itu berusia 39 tahun.

Walaupun James Earl Ray mengaku bersalah atas pembunuhan itu dan dijatuhi hukuman penjara 99 tahun, pelbagai persoalan dan teori konspirasi masih terus diperkatakan hingga kini.

Gabbard dalam satu kenyataan berkata rakyat Amerika telah menunggu hampir 60 tahun untuk mengetahui “skop penuh” siasatan kerajaan persekutuan terhadap pembunuhan Dr King.

“Di bawah kepimpinan Presiden Trump, kami memastikan tiada satu pun bukti yang diabaikan dalam usaha memberikan ketelusan penuh mengenai peristiwa penting dan tragik dalam sejarah negara ini. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga King atas sokongan mereka,” katanya.

Peguam Negara, Pam Bondi pula menyatakan bahawa rakyat berhak mengetahui perkara sebenar meskipun puluhan tahun telah berlalu sejak pembunuhan kejam terhadap seorang daripada tokoh besar negara itu.

Sementara itu, Pengarah CIA John Ratcliffe menyifatkan pendedahan dokumen ini sebagai satu “pencapaian penting” dalam usaha agensi itu memastikan ketelusan maksimum kepada rakyat Amerika. – Bernama

Scroll to Top