AS dominasi Paraguay 4-1 di laman sendiri

AS dominasi Paraguay 4-1 di laman sendiri
AS dominasi Paraguay 4-1 di laman sendiri

Folarin Balogun muncul wira pasukan selepas meledak dua gol ketika AS mengalahkan Paraguay 4-1 di laman sendiri. Foto Agensi

AMERIKA Syarikat (AS) memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan penuh bergaya apabila membenam Paraguay 4-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Stadium Los Angeles, sebentar tadi.

Disaksikan puluhan ribu penyokong di laman sendiri, skuad bimbingan Mauricio Pochettino tampil dominan sejak wisel permulaan dan mendahului seawal minit ketujuh menerusi gol sendiri pemain Paraguay, Damián Bobadilla.

AS terus mengasak dan menggandakan kelebihan menerusi Folarin Balogun pada minit ke-32 hasil gerakan cemerlang Christian Pulisic.

Penyerang itu sekali lagi menemui sasaran pada masa kecederaan babak pertama untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului 3-0 sebelum rehat.

Paraguay cuba merapatkan jurang menerusi jaringan Mauricio pada minit ke-73, namun kebangkitan mereka tidak bertahan lama apabila pemain gantian, Giovanni Reyna menoktahkan kemenangan AS dengan gol keempat pada masa kecederaan.

Kemenangan meyakinkan itu menyaksikan AS mengutip tiga mata berharga untuk menerajui saingan Kumpulan D, sekali gus memberikan amaran awal kepada pencabar lain dalam kumpulan berkenaan.

Skuad Uncle Sam selepas ini akan bertemu Australia pada Sabtu sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Turkiye enam hari kemudian.

Scroll to Top