AS gentar hadapi era tanpa Simone Biles

AS gentar hadapi era tanpa Simone Biles

Jakarta: Semua sudah menjangka detik itu bakal tiba, namun gimnastik Amerika Syarikat (AS) jelas belum bersedia menghadapi persaraan Simone Biles.

Prestasi hambar skuad wanita negara itu pada Kejohanan Dunia Jakarta 2025 kini menimbulkan kebimbangan menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Simone menjadi figura dominan dalam arena gimnastik dunia sepanjang sedekad lalu. Dalam tiga edisi Olimpik Rio 2016, Tokyo 2020 dan Paris 2024. Dia mengutip 11 pingat termasuk tujuh emas, menjadikannya antara atlet paling berjaya dalam sejarah sukan itu.

Bersama nama besar lain seperti Aly Raisman, Nastia Liukin, Suni Lee dan Jordan Chiles, Simone membantu skuad AS menyaingi kuasa besar seperti China, Rusia dan Romania, sekali gus menjadikan Amerika antara kuasa tetap di podium dunia dan Olimpik.

Namun, kegemilangan itu kini semakin pudar. Menurut wartawan Essentially Sports, Disita Sikdar apabila Kejohanan Dunia yang baru berakhir di Jakarta, Indonesia, pasukan wanita AS hanya berjaya membawa pulang dua pingat.”

“Selama bertahun-tahun, skuad gimnastik wanita AS memiliki teras kukuh dengan barisan legenda, namun dengan Simone bersara dan Suni Lee serta Jade Carey direhatkan buat sementara waktu, kekuatan utama pasukan itu kini lumpuh,” katanya.

Disita turut memberi amaran bahawa tanggungjawab kini terpikul di bahu generasi baharu gimnas, tetapi masih belum kelihatan pengganti sebenar kepada Simone.

“Dengan Los Angeles 2028 semakin hampir, ketiadaan bintang pelapis jelas menjadi kebimbangan dalam kalangan peminat dan pakar,” katanya.

Walaupun masih ada masa untuk membentuk pasukan kompetitif, jurang bakat antara barisan sedia ada dan era Simone amat ketara.

Di Jakarta, Leanne Wong sekadar meraih perak dalam acara individu keseluruhan kemenangan yang turut mencetuskan kontroversi manakala Joscelyn Roberson membawa pulang gangsa dalam melombol.

Pingat Wong sebenarnya sudah dijangka berdasarkan pengalamannya di Olimpik, meskipun hanya berperanan sebagai simpanan pada edisi 2020 dan 2024. Namun secara keseluruhan, skuad AS gagal mencapai jangkaan dan kini bergelut mencari rentak baharu dalam era pasca-Simone.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top