AS gesa gencatan senjata sementara pemimpin Thailand, Kemboja menuju ke Malaysia untuk rundingan damai

AS gesa gencatan senjata sementara pemimpin Thailand, Kemboja menuju ke Malaysia untuk rundingan damai

KUALA LUMPUR – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menggesa Kemboja dan Thailand supaya meredakan ketegangan dan bersetuju dengan gencatan senjata susulan pertikaian sempadan yang berlarutan.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce, Rubio telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn bagi menekankan kepentingan gencatan senjata serta-merta.

“Setiausaha Rubio mengulangi hasrat Presiden (Donald) Trump untuk melihat keamanan tercapai serta kepentingan gencatan senjata segera. AS bersedia memudah cara perbincangan pada masa hadapan bagi menjamin keamanan dan kestabilan antara Thailand dan Kemboja,” kata Bruce dalam kenyataan yang disiarkan di laman rasmi jabatan itu.

Bruce berkata, Rubio turut menyampaikan mesej yang sama kepada Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa, sambil menegaskan kesediaan Washington untuk membantu memudahkan dialog dan usaha damai antara kedua-dua negara.

Dalam perkembangan terbaharu, Bernama melaporkan bahawa Kerajaan Thailand mengesahkan akan menghadiri rundingan damai serantau di Malaysia pada Isnin bagi membincangkan konflik sempadan yang semakin meruncing dengan Kemboja.

Jurucakap Kerajaan Thailand Jirayu Huangsap berkata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN ketika ini, telah menjemput kepimpinan Thailand bagi membincangkan konflik Thailand-Kemboja.

Delegasi Thailand dijadual berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand kira-kira jam 10.30 pagi, manakala mesyuarat dijadual berlangsung pada jam 3 petang (waktu Malaysia).

Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara memuncak pada 25 Julai lepas, mencetuskan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan utara Kemboja.

Pertempuran terbaharu itu dilaporkan mengorbankan lebih 20 nyawa di pihak Thailand.

Pada masa sama, pihak berkuasa Kemboja memaklumkan lima anggota tentera dan lapan orang awam terbunuh, manakala ribuan penduduk dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lepas susulan insiden konfrontasi antara anggota tentera berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan kematian seorang tentera Kemboja.

Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu telah lama tidak bersependapat mengenai jajaran sepanjang 817 kilometer sempadan yang belum dimuktamadkan, yang terus menjadi punca ketegangan dan tekanan diplomatik. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top