
Amerika Syarikat dilaporkan telah menggunakan sebahagian besar stok peluru berpandu utama sepanjang konflik dengan Iran. – Agensi
ISTANBUL – Tentera Amerika Syarikat dilaporkan telah menggunakan sebahagian besar stok peluru berpandu utama sepanjang konflik dengan Iran, sekali gus berdepan risiko kekurangan jika tercetus perang baharu.
Menurut laporan CNN yang dipetik Anadolu Ajansi, sepanjang tujuh minggu perang, AS menggunakan kira-kira 45 peratus peluru berpandu Precision Strike, sekurang-kurangnya separuh pemintas THAAD dan hampir 50 peratus peluru berpandu pertahanan udara Patriot.
Analisis terbaharu oleh Centre for Strategic and International Studies turut menyatakan angka itu hampir menyamai anggaran sulit Pentagon.
Selain itu, AS turut menggunakan sekitar 30 peratus peluru berpandu Tomahawk, lebih 20 peratus peluru berpandu jarak jauh Joint Air-to-Surface Standoff Missile (JASSM), serta kira-kira 20 peratus peluru berpandu SM-3 dan SM-6.
Walaupun Pentagon telah menandatangani kontrak awal tahun ini untuk meningkatkan pengeluaran, proses mengisi semula stok dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.
Dalam tempoh terdekat, AS masih mempunyai bekalan mencukupi untuk meneruskan operasi terhadap Iran sekiranya gencatan senjata yang rapuh gagal dipertahankan.
Namun, laporan itu memberi amaran stok senjata utama kini tidak mencukupi untuk menghadapi konflik dengan kuasa setara seperti China, dan usaha memulihkannya ke tahap sebelum perang dijangka mengambil masa bertahun-tahun.
Bekas kolonel Kor Marin AS, Mark Cancian berkata, penggunaan peluru berpandu yang tinggi telah mewujudkan kelemahan sementara di rantau Pasifik Barat.
Sementara itu, jurucakap Pentagon, Sean Parnell menegaskan tentera AS mempunyai keupayaan mencukupi untuk melaksanakan operasi pada bila-bila masa mengikut arahan Presiden Donald Trump. – Bernama



