AS ‘hampir capai’ objektif di Iran, pertimbang kurangkan operasi ketenteraan – Trump

AS ‘hampir capai’ objektif di Iran, pertimbang kurangkan operasi ketenteraan – Trump

ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat berkata, Washington hampir mencapai objektif ketenteraan di Iran dan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan operasi di Asia Barat, lapor Anadolu Ajansi.

Trump menyenaraikan lima matlamat yang menurutnya hampir dicapai menerusi platform media sosialnya Truth Social, termasuk melemahkan keupayaan peluru berpandu Iran, memusnahkan pangkalan industri pertahanannya serta menghapuskan tentera laut dan udara negara itu.

Selain itu, objektif berkenaan turut merangkumi usaha menghalang Iran daripada menghampiri keupayaan nuklear serta melindungi sekutu AS di rantau itu termasuk Israel, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Kuwait.

Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt menerusi platform X berkata pentadbiran Trump sejak awal menjangkakan operasi itu akan berlangsung selama empat hingga enam minggu dan memaklumkan bahawa ia kini memasuki minggu ketiga, sekali gus memberi bayangan kempen ketenteraan itu mungkin berakhir dalam tempoh seminggu lagi. Pasukan tentera AS melakukan “tugas luar biasa”.

Leavitt mendakwa Iran semakin “dilumpuhkan hari demi hari,” dan Trump kekal memberi tumpuan kepada “kemenangan sepenuhnya dan menyeluruh.”

Bagaimanapun, di sebalik pernyataan awam itu, Anadolu melaporkan seorang pegawai AS memberitahu Axios bahawa hantaran Trump itu tidak menandakan penamatan segera perang.

“Beliau hanya berkata kita semakin hampir,” kata pegawai itu sambil membayangkan serangan akan diteruskan untuk “beberapa minggu lagi.”

Trump berkata Selat Hormuz perlu “dikawal dan dipantau keselamatannya” oleh negara yang bergantung kepada laluan itu bagi bekalan minyak, bukannya AS.

Beliau berkata, Washington akan membantu jika diminta, namun menyatakan ia tidak diperlukan “sebaik sahaja ancaman Iran dihapuskan,” sekali gus memberi gambaran bahawa operasi ketenteraan itu mudah dilaksanakan oleh negara lain.

AS terus meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau itu dengan menghantar kapal tambahan dan anggota Marin ke Asia Barat, langkah yang tidak menunjukkan kempen ketenteraan itu akan berakhir.

Serangan AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari dan dilaporkan telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk ketika itu Pemimpin Agung ketika itu Ali Khamenei. – Bernama-Anadolu

Ringkasan AI

  • Presiden AS, Donald Trump, menyatakan Washington hampir mencapai objektif ketenteraan di Iran Trump menyenaraikan melemahkan keupayaan peluru berpandu Iran dan menghapuskan tentera laut serta udara Iran sebagai antara matlamat utama Kempen ketenteraan AS dijangka akan berakhir dalam tempoh sekitar satu minggu lagi Serangan AS-Israel ke Iran dilaporkan mengorbankan kira-kira 1,300 orang termasuk Pemimpin Agung Ali Khamenei Trump menegaskan Selat Hormuz perlu dikawal oleh negara yang bergantung padanya untuk bekalan minyak bukan oleh AS
Scroll to Top