
Serangan terbaharu itu berlaku selepas Trump berkata pada Isnin, beliau telah mengarahkan penangguhan lima hari semua serangan ke atas loji jana kuasa Iran dan infrastruktur tenaga. Foto Agensi
ISTANBUL – Serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada Isnin dilaporkan menyasarkan kemudahan berkaitan tenaga di wilayah Isfahan dan bandar barat daya Khorramshahr di Iran, menurut Anadolu Ajansi, memetik media Iran.
Di Isfahan, sebuah bangunan pentadbiran gas asli dan stesen pengurangan tekanan gas diserang menyebabkan kerosakan pada bahagian fasiliti dan rumah berdekatan, lapor Agensi Berita Fars.
Di Khorramshahr, saluran paip gas asli milik loji jana kuasa disasarkan. Pegawai di Khorramshahr berkata, sebuah peluru berpandu mengena kawasan di luar stesen saluran paip gas asli namun tiada kemalangan jiwa.
Walaupun tiada maklumat mengenai gangguan bekalan elektrik di Isfahan, dilaporkan bekalan kuasa berterusan tanpa gangguan di Khorramshahr hasil usaha berterusan.
Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pada Sabtu, AS akan “melenyapkan” loji jana kuasa Iran jika Teheran tidak membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya kepada penghantaran komersial dalam tempoh 48 jam.
Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengumumkan sebarang serangan ke atas infrastruktur Iran akan mencetuskan serangan “timbal balik” serta-merta ke atas grid tenaga serantau dan loji penyahgaraman, khususnya yang menyokong pangkalan Israel atau AS.
Serangan terbaharu itu berlaku selepas Trump berkata pada Isnin, beliau telah mengarahkan penangguhan lima hari semua serangan ke atas loji jana kuasa Iran dan infrastruktur tenaga, mengatakan perbincangan “sangat baik dan produktif” dengan Teheran sejak dua hari lepas.
Ketegangan memuncak di rantau ini susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari.
Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel dan negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel menyasarkan kemudahan berkaitan tenaga di Isfahan dan Khorramshahr, Iran
- Bangunan pentadbiran gas asli dan stesen pengurangan tekanan gas di Isfahan diserang
- Saluran paip gas asli di Khorramshahr dijadikan sasaran serangan namun tiada kemalangan jiwa
- Presiden AS, Donald Trump mengancam akan “melenyapkan” loji jana kuasa Iran jika Selat Hormuz tidak dibuka sepenuhnya
- Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengancam serangan “timbal balik” ke atas infrastruktur yang menyokong pangkalan Israel atau AS



