Tehran: Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan pengayaan uranium Natanz di Iran pada pagi Sabtu, menurut laporan media tempatan Iran yang dipetik Xinhua.
Tiada kebocoran radioaktif dilaporkan dan penduduk yang tinggal berhampiran lokasi berkenaan tidak berada dalam risiko.
Sementara itu, Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan agensi berita separa rasmi, Tasnim News melaporkan, Pertubuhan Tenaga Atom Iran mengesahkan kemudahan pengayaan Shahid Ahmadi Roshan diserang.
Katanya, serangan itu melanggar undang-undang dan komitmen antarabangsa, termasuk Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) serta peraturan keselamatan nuklear lain.
Pertubuhan itu memaklumkan penilaian teknikal dan khusus sudah dijalankan oleh Pusat Sistem Keselamatan Nuklear negara bagi menilai kemungkinan pencemaran radioaktif di tapak berkenaan.
Berdasarkan penemuan itu, tiada kebocoran bahan radioaktif dikesan dan tiada bahaya kepada penduduk yang tinggal berhampiran kemudahan itu, katanya.
Fasiliti nuklear Natanz sebelum ini pernah menjadi sasaran serangan AS-Israel pada 2 Mac lalu.
Kemudahan nuklear berkenaan adalah antara tiga tapak yang disasarkan oleh serangan AS pada Jun tahun lalu ketika konflik dengan Iran, selain Fordow dan Isfahan.
Serangan AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu, dengan Tehran melakukan serangan balas menggunakan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




