21 Mac 2026 07:27pm
Masa membaca: 4 minit

AS dan Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan pengayaan uranium Natanz di Iran pada pagi Sabtu. Foto: Agensi
TEHERAN – Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan pengayaan uranium Natanz di Iran pada pagi Sabtu, menurut media tempatan Iran, lapor Xinhua.
Tiada kebocoran radioaktif dilaporkan dan penduduk berhampiran lokasi itu tidak berdepan sebarang risiko.
Sementara itu, Anadolu Ajansi melaporkan dengan memetik kenyataan yang disiarkan agensi berita separa rasmi Tasnim, bahawa Pertubuhan Tenaga Atom Iran memaklumkan kemudahan pengayaan Shahid Ahmadi Roshan turut diserang.
Ia menambah bahawa serangan itu melanggar undang-undang serta komitmen antarabangsa, termasuk Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) dan peraturan keselamatan nuklear lain.
Pertubuhan itu menyatakan bahawa penilaian teknikal dan khusus telah dijalankan oleh Pusat Sistem Keselamatan Nuklear negara itu bagi menilai kemungkinan pencemaran radioaktif di tapak berkenaan.
Menurut dapatan penilaian itu, tiada kebocoran bahan radioaktif dikesan dan tiada bahaya kepada penduduk yang tinggal berhampiran kemudahan berkenaan, menurut kenyataan itu.
Kemudahan nuklear Natanz sebelum ini menjadi sasaran dalam serangan AS-Israel pada 2 Mac lepas.
Kemudahan nuklear itu merupakan satu daripada tiga tapak yang disasarkan dalam serangan AS pada Jun tahun lepas semasa konflik dengan Iran, selain Fordow dan Isfahan. – Bernama-Xinhua-Anadolu
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan pengayaan uranium Natanz di Iran Tiada kebocoran radioaktif dilaporkan dan penduduk berhampiran lokasi itu tidak berdepan sebarang risiko Kemudahan pengayaan Shahid Ahmadi Roshan juga diserang Serangan itu ditakrifkan melanggar undang-undang serta komitmen antarabangsa Penilaian teknikal menunjukkan tiada kebocoran bahan radioaktif dan tiada bahaya kepada penduduk berhampiran



