AS kenakan sekatan 4 warga Israel serang rakyat Palestin

AS kenakan sekatan 4 warga Israel serang rakyat Palestin

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah meluluskan sekatan ke atas empat warga Israel yang dituduh menyerang rakyat Palestin di Tebing Barat diceroboh.

Biden menandatangani perintah eksekutif sambil menyatakan keganasan di Tebing Barat telah mencapai “tahap yang tidak boleh diterima”.

Sekatan itu menyekat individu-individu berkenaan daripada mengakses semua harta, aset dan sistem kewangan di Amerika Syarikat.

Keganasan di Tebing Barat telah meningkat sejak Hamas melancarkan serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel pada 7 Oktober.

Kira-kira 370 rakyat Palestin telah terbunuh di Tebing Barat sejak itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Majoriti mereka diserang oleh tentera Israel tetapi sekurang-kurangnya lapan daripada mereka telah dibunuh oleh warga Israel, kata PBB.

Perintah eksekutif baharu itu bermakna kerajaan AS mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana warga asing yang menyerang, menakut-nakutkan atau merampas harta rakyat Palestin.

Sekatan ini adalah yang pertama oleh pentadbiran AS – langkah yang jarang berlaku yang menyasarkan warga Israel dan dibuat ketika Bidenb menuju ke negeri Michigan, yang mempunyai penduduk Arab-Amerika yang ramai serta mengkritik sokongan presiden tersebut terhadap Israel.

Arab American Institute, sebuah kumpulan advokasi sebelum ini berkata, sejak permulaan konflik, sokongan orang Arab Amerika untuk Parti Demokrat telah menjunam daripada 59% pada 2020 kepada hanya 17%.

Pada hari Khamis, seorang pegawai kanan dalam pentadbiran Biden berkata, presiden telah berulang kali membangkitkan kebimbangannya tentang keganasan peneroka-peneroka Israel.

Perintah eksekutif itu menetapkan asas bagaimana AS akan bertindak balas terhadap serangan selanjutnya di Tebing Barat, dan merupakan peningkatan berbanding sekatan visa yang dikenakan ke atas beberapa individu tahun lepas.

“Keadaan di Tebing Barat – khususnya keganasan peneroka pelampau yang tinggi, pemindahan paksa penduduk dan kampung, dan kemusnahan harta benda telah mencapai tahap yang tidak boleh ditoleransi dan merupakan ancaman serius kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan” wilayah itu, kata Biden berkata dalam surat kepada Kongres bagi menjelaskan alasannya.

Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata, pusingan awal sekatan yang menyasarkan empat orang adalah terhadap “individu yang secara langsung melakukan keganasan dan mereka telah berulang kali melakukan tindakan ugutan, pemusnahan harta benda, yang membawa kepada pemindahan paksa masyarakat Palestin.

Mereka berkata, seorang yang memulakan dan mengetuai rusuhan yang membawa kepada kematian orang awam Palestin di bandar Huwara, manakala seorang lagi menyerang orang ramai dengan batu dan kayu.

Perintah eksekutif itu adalah “tidak diskriminasi” dan digunakan untuk kedua-dua Israel dan Palestin yang mengarahkan atau mengambil bahagian dalam tindakan ganas atau ancaman terhadap orang awam, ugutan, memusnahkan, merampas harta benda atau keganasan.

Perbendaharaan AS menamakan empat warga Israel yang disekat sebagai David Chai Chasdai, 29; Yinon Levi 31; Einan Tanjil, 21; dan Shalom Zicherman 32.

Tiga daripada mereka tinggal di penempatan Tebing Barat dan seorang tinggal berhampiran sempadan wilayah yang diduduki, kata Perbendaharaan.

Sekatan AS ini tidak boleh dikenakan kepada warganegara Amerika, yang sebahagiannya dianggap terlibat dalam keganasan. – Agensi

Scroll to Top