AS lancar operasi besar-besaran terhadap Houthi

AS lancar operasi besar-besaran terhadap Houthi

Aden, Yaman: Amerika Syarikat (AS) akan terus menyerang pemberontak Houthi Yaman sehingga mereka menamatkan serangan ke atas perkapalan, kata setiausaha pertahanan AS, pada Ahad.

Serangan udara itu, yang dikatakan oleh Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Houthi membunuh sekurang-kurangnya 53 orang, adalah operasi ketenteraan AS terbesar di Timur Tengah sejak Presiden Donald Trump memegang jawatan pada Januari lalu.

Seorang pegawai AS memberitahu Reuters bahawa kempen itu mungkin berterusan selama beberapa minggu.

Pemimpin Houthi, Abdul Malik al-Houthi pada Ahad berkata, militannya akan menyasarkan kapal AS di Laut Merah selagi AS meneruskan serangannya ke Yaman.

“Jika mereka meneruskan pencerobohan mereka, kami akan meneruskan peningkatan itu,” katanya dalam ucapan di televisyen.

Biro politik pergerakan Houthi menyifatkan serangan itu sebagai “jenayah perang,” manakala Moscow menggesa Washington menghentikan serangan berkenaan.

Jurucakap tentera Houthi pada Ahad berkata, tanpa menawarkan bukti, kumpulan itu menyasarkan kapal pengangkut pesawat AS, USS Harry S Truman dan kapal perangnya di Laut Merah dengan peluru berpandu balistik dan dron sebagai tindak balas terhadap serangan AS.

Pesawat perang AS menembak jatuh 11 dron Houthi pada Ahad, tiada satupun yang mendekati Truman, kata seorang pegawai AS kepada Reuters.

Tentera AS juga menjejaki peluru berpandu luar pantai Yaman dan tidak dianggap sebagai ancaman, kata pegawai itu.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth memberitahu program Sunday Morning Futures Fox News: “Apabila Houthi berkata, kami akan berhenti menembak kapal anda, kami akan berhenti menembak dron anda. Kempen ini akan berakhir, tetapi sehingga itu ia tidak akan berhenti.”

“Ini adalah mengenai menghentikan penembakan ke atas aset … di laluan air kritikal itu, untuk membuka semula kebebasan pelayaran, yang menjadi kepentingan nasional teras Amerika Syarikat, dan Iran membolehkan Houthi terlalu lama,” katanya. “Lebih baik mereka berundur.”

Houthi, yang menguasai sebahagian besar Yaman sejak sedekad lalu berkata, minggu lalu, mereka akan meneruskan serangan ke atas kapal Israel yang melalui Laut Merah, jika Israel tidak menarik balik sekatan bantuan memasuki Gaza.

Mereka melancarkan beberapa serangan ke atas perkapalan selepas perang Israel dengan Hamas bermula pada penghujung 2023, mengatakan mereka bertindak sebagai solidariti dengan penduduk Palestin di Gaza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top