Bernama-Anadolu
Istanbul: Canselor Jerman Friedrich Merz berkata pada lewat Ahad “Amerika Syarikat (AS) masih dan akan kekal sebagai rakan kongsi terpenting Jerman” dalam NATO, lapor Anadolu Ajansi.
“Kami berkongsi matlamat yang sama: Iran tidak boleh dibenarkan memperoleh senjata nuklear,” katanya di X.
Kenyataan Merz dibuat ketika ketegangan antara Washington dan Berlin selepas beliau baru-baru ini mengkritik AS kerana tidak mempunyai “strategi keluar” dalam perang Iran sambil mengatakan bahawa Amerika “dimalukan” oleh rejim Iran semasa rundingan.
Merz berkata pada Ahad, AS tidak akan menempatkan peluru berpandu jelajah Tomahawk di Jerman buat masa ini, menegaskan bahawa keputusan itu tidak dikaitkan dengan kritikannya terhadap Presiden Donald Trump.
“Pihak Amerika tidak mempunyai yang cukup untuk diri mereka sekarang. Secara objektif, hampir tidak ada kemungkinan AS membekalkan sistem senjata seperti ini,” kata Merz kepada penyiar awam ARD dalam satu temu bual.
Pada Sabtu, Trump berkata AS merancang untuk mengurangkan kehadiran tenteranya di Jerman, berikutan keputusan awal untuk mengurangkan pasukan di negara itu.
“Kami akan mengurangkan (anggota tentera) dan kami akan mengurangkan lebih daripada 5,000,” katanya kepada pemberita di Florida apabila ditanya mengenai langkah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



