AS nafi setuju Iran cairkan aset dibeku di Qatar

AS nafi setuju Iran cairkan aset dibeku di Qatar

Washington: Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu menafikan laporan yang mendakwa Washington bersetuju untuk melepaskan aset Iran yang dibekukan di Qatar dan di bank-bank asing lain.

Penafian itu dibuat susulan ketibaan delegasi Iran dan AS di Islamabad, Pakistan bagi menghadiri rundingan yang bertujuan menamatkan konflik di Timur Tengah.

Terdahulu, Tehran menyatakan bahawa sebarang perjanjian damai secara kekal mesti merangkumi pembebasan aset Iran yang dikenakan sekatan.

Selain itu, Iran turut menuntut penamatan serangan Israel terhadap Hizbullah di Lubnan sebagai sebahagian daripada syarat rundingan berkenaan.

Satu sumber kanan Iran yang tidak dinamakan dilaporkan memberitahu agensi berita Reuters bahawa AS kononnya sudah bersetuju untuk mencairkan asset berkenaan dengan dakwaan langkah itu berkait rapat dengan usaha menjamin keselamatan di Selat Hormuz.

Bagaimanapun, dalam satu mesej dari Rumah Putih, seorang pegawai kanan AS menyelar laporan itu dengan menyifatkannya sebagai berita palsu.

“Palsu. Mesyuarat itu pun masih belum bermula,” katanya bagi mengulas laporan berkenaan.

Sementara itu, pejabat Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif memaklumkan beliau sudah bertemu dengan Naib Presiden AS, JD Vance di Islamabad pada Sabtu, sambil menambah bahawa rundingan damai untuk menamatkan konflik di Timur Tengah sudah ‘bermula’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top