AS pertimbang hantar 10,000 tentera tambahan ke Asia Barat

AS pertimbang hantar 10,000 tentera tambahan ke Asia Barat
AS pertimbang hantar 10,000 tentera tambahan ke Asia Barat

Pasukan payung terjun daripada Divisyen Udara ke-82. Foto: Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menghantar sehingga 10,000 lagi anggota tentera darat ke Asia Barat ketika rundingan dengan Iran masih berlangsung.

Menurut The Jerusalem Post yang merujuk laporan eksklusif The Wall Street Journal yang memetik pegawai Jabatan Pertahanan AS, penambahan tersebut bertujuan memperkukuh keupayaan ketenteraan AS di rantau berkenaan.

Pasukan tambahan itu dijangka melibatkan infantri serta aset kenderaan berperisai, melengkapi penempatan sedia ada termasuk Divisyen Udara ke-82 yang telah digerakkan ke rantau itu sebelum ini.

Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha memberi lebih banyak ‘opsyen ketenteraan’ kepada Presiden AS, Donald Trump, dalam menghadapi situasi geopolitik yang semakin tegang.

Pakar berpendapat penempatan Divisyen Udara ke-82 berkemungkinan mensasarkan kepentingan strategik Iran, termasuk Pulau Kharg di Teluk Parsi yang menjadi hab eksport minyak utama negara itu.

Walau bagaimanapun, The Wall Street Journal melaporkan bahawa masih belum jelas ke mana pasukan tambahan itu akan dihantar atau ditempatkan.

Jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly berkata, sebarang pengumuman rasmi mengenai pergerakan tentera hanya akan dibuat oleh pihak pertahanan.

“Seperti yang telah dinyatakan, Presiden sentiasa mempunyai semua pilihan ketenteraan dalam pertimbangannya.” katanya.

Dalam masa sama, jurucakap US Central Command enggan mengulas lanjut kepada The Wall Street Journal.

Sebelum ini, Trump dalam kenyataan di platform Truth Social memaklumkan bahawa serangan tersebut akan dihentikan selama 10 hari sehingga 6 April, atas permintaan pihak Iran.

Menurutnya, rundingan yang sedang berlangsung menunjukkan perkembangan positif, namun beliau tidak memperincikan matlamat utama atau hasil yang dijangka dicapai.

Ringkasan AI

  • Amerika Syarikat pertimbang hantar hingga 10,000 tentera darat ke Asia Barat.
  • Langkah ini untuk perkukuh keupayaan ketenteraannya di rantau berkenaan.
  • Penghantaran termasuk infantri dan aset kenderaan berperisai.
  • Ia memberi lebih banyak opsyen ketenteraan kepada Presiden Donald Trump.
  • Lokasi penempatan pasukan tambahan belum diputuskan.
Scroll to Top