
Perbandingan imej satelit pada Januari dan Februari menunjukkan peningkatan jumlah pesawat dan peralatan ketenteraan lain di pangkalan tentera udara al-Udeid di Qatar.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengumumkan beliau sedang mempertimbangkan untuk mengerahkan kapal pengangkut pesawat kedua dan aset ketenteraan tambahan ke Asia Barat di tengah-tengah ketegangan yang kian meningkat dengan Iran.
“Teheran telah memandang rendah keupayaan kami ketika AS membedil kemudahan tentera bawah tanah mereka pada musim panas lalu.
“Mereka sangka kami hanya membuat ancaman kosong, rupa-rupanya mereka sudah tersilap percaturan,” ujarnya dengan angkuh ketika wawancara bersama Channel 12 milik stesen televisyen Israel.
Menurutnya, rundingan pada kali ini agak berbeza kerana Iran dilihat lebih bersedia dan serius untuk mencapai perjanjian.
“Sama ada kita mencapai perjanjian atau terpaksa bertindak tegas seperti sebelum ini,” kata Trump merujuk kepada kemungkinan operasi ketenteraan yang lebih agresif.
Dalam perkembangan berkaitan, analisis imej satelit menunjukkan peluru berpandu Patriot telah dipasang pada trak M983 HEMTT di pangkalan tentera terbesar AS di Al-Udeid, Qatar.
Penganalisis imej forensik di Contested Ground, William Goodhind mendakwa langkah itu memberi sistem Patriot keupayaan bergerak yang lebih pantas dan membolehkannya dipindahkan atau disusun semula dengan lebih cepat.
Perbandingan imej satelit yang diambil pada awal Februari dan Januari itu juga memperlihatkan peningkatan jumlah pesawat serta peralatan ketenteraan lain.
Sehingga Selasa, masih tidak jelas sama ada misil tersebut masih dalam keadaan ‘siap siaga’ pada trak M983 HEMTT. – Agensi
Ringkasan AI
- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan pertimbangan untuk mengerahkan kapal pengangkut pesawat kedua dan aset ketenteraan tambahan ke Asia Barat kerana ketegangan dengan Iran
- Trump menyatakan Iran telah memandang rendah keupayaan AS setelah AS membedil kemudahan tentera bawah tanah mereka
- Rundingan dengan Iran kali ini dilihat lebih bersedia dan serius untuk mencapai perjanjian
- Trump tidak menolak kemungkinan operasi ketenteraan yang lebih agresif jika perjanjian tidak dicapai
- Analisis imej satelit menunjukkan pemasangan peluru berpandu Patriot di pangkalan tentera AS di Al-Udeid, Qatar, meningkatkan keupayaan bergerak sistem pertahanan tersebut



