
Amir Saeid Iravani – Foto: Agensi
NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) sengaja cuba meluaskan konflik dengan Iran menggunakan pangkalan mereka di Teluk Parsi, kata Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Amir Saeid Iravani, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“AS, sebaliknya, sengaja cuba meluaskan skop konflik dengan mengeksploitasi pangkalan mereka di rantau Teluk Parsi. Impian kerajaan AS yang bersikap musuh untuk menelan Iran dan memaksa Republik Islam Iran tunduk tidak akan pernah tercapai,” kata Iravani pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.
Beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB mesti menegaskan bahawa AS dan Israel memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan kepada fasiliti Iran.
“Majlis Keselamatan mesti segera: menentukan bahawa AS dan rejim Israel telah melakukan tindakan pencerobohan dan menuntut penghentian segera penggunaan kekerasan yang tidak sah, termasuk sebarang ancaman jelas atau tersirat terhadap Iran, serta menuntut jaminan mengikat agar tidak diulang.
“Ia mesti menegaskan bahawa AS dan rejim Israel memikul tanggungjawab antarabangsa sepenuhnya atas semua kerosakan material dan moral yang dikenakan ke atas infrastruktur dan fasiliti Republik Islam Iran dan wajib memberikan pampasan penuh,” kata Iravani.
Beliau menambah bahawa matlamat AS dan Israel untuk menukar kuasa di Iran adalah cubaan melanggar kedaulatan republik itu.
“Presiden AS dan Perdana Menteri rejim Israel telah secara terbuka mengaku bertanggungjawab atas tindakan pencerobohan ini dan dengan jelas menyatakan perubahan rejim sebagai objektif mereka – pengakuan nyata niat mereka untuk melanggar kedaulatan dan integriti wilayah Iran,” kata Iravani.
Beliau berkata tindakan AS dan Israel tidak boleh dianggap sebagai membela diri.
“Tindakan pencerobohan ketenteraan yang dijalankan oleh AS dan Israel tidak memenuhi sebarang kriteria pertahanan diri yang sah,” kata Iravani.
Iravani juga menegaskan Iran tidak akan menyerang rakyat atau kepentingan negara jirannya di Teluk Parsi dalam apa jua keadaan.
“Iran tetap komited sepenuhnya untuk menghormati kedaulatan dan integriti wilayah negara jirannya. Dalam apa jua keadaan, kami tidak akan menyasarkan kedaulatan, rakyat atau kepentingan negara jirannya di Teluk Parsi.
“Tindak balas sah kami hanya ditujukan secara eksklusif kepada pangkalan dan aset kerajaan AS yang bermusuh yang beroperasi di luar kawalan negara tuan rumah.” – Bernama
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat sengaja cuba meluaskan konflik dengan Iran menggunakan pangkalan di Teluk Parsi
- Majlis Keselamatan PBB diminta menegaskan bahawa AS dan Israel bertanggungjawab atas kerosakan kepada fasiliti Iran
- Matlamat AS dan Israel menukar kuasa di Iran dianggap sebagai langgaran kedaulatan
- Tindakan AS dan Israel tidak memenuhi kriteria pertahanan diri yang sah
- Iran berkomitmen untuk tidak menyasarkan kedaulatan atau kepentingan negara jirannya di Teluk Parsi



