
Imej satelit menunjukkan Iran memperkukuhkan pertahanan termasuk membina tembok konkrit di kemudahan sensitif yang mungkin menjadi sasaran musuh. – Foto Agensi
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan ancaman baharu terhadap Iran selepas pusingan kedua rundingan nuklear di Geneva berakhir tanpa kemajuan ketara.
Washington kembali mengugut untuk melancarkan tindakan ketenteraan selepas Teheran dan Moscow mengumumkan latihan ketenteraan bersama di Laut Oman sebagai usaha menangkis sebarang ‘tindakan unilateral’ di rantau Asia Barat.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, pada Rabu berkata Iran perlu bijak membuat keputusan untuk memeterai perjanjian bersama Presiden Donald Trump.
“Masih terdapat percanggahan dalam beberapa isu,” ujarnya.
Sementara itu, Trump menerusi platform Truth Social sekali lagi melancarkan perang retorik terhadap Iran.
“Sekiranya Teheran enggan membuat perjanjian, AS mungkin perlu menggunakan pangkalan udara di Lautan Hindi di Kepulauan Chagos untuk menghalang sebarang serangan berpotensi yang dilancarkan Iran,” katanya.
Ketika situasi kian tegang, Wall Street Journal melaporkan Trump mempertimbangkan serangan yang menyasarkan kepimpinan Iran di bawah rancangan untuk menukar pentadbiran teokratik di negara itu.
“Beliau masih belum membuat keputusan muktamad. Presiden sudah menerima beberapa taklimat tentang serangan udara untuk membunuh pemimpin politik dan tentera Teheran. Matlamatnya jelas untuk menggulingkan pemerintahan yang diterajui Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
“Fokus lain operasi itu ialah kemudahan nuklear dan peluru berpandu,” jelas laporan itu lagi.
CBS News memetik sumber rapat yang mendakwa tentera AS bersedia untuk menyerang Iran seawal Sabtu ini. – Agensi
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat mengeluarkan ancaman terhadap Iran selepas rundingan nuklear tidak berjaya
- Washington mengugut akan bertindak ketenteraan terhadap Iran yang berlatih bersama Moscow di Laut Oman
- Setiausaha Akhbar Rumah Putih menegaskan Iran harus membuat keputusan bijak dengan Donald Trump
- Trump mempertimbangkan serangan untuk menggulingkan pemerintahan Iran
- Tentera AS bersedia untuk menyerang Iran seawal Sabtu ini


