Los Angeles: Kapten Amerika Syarikat (AS), Christian Pulisic tidak akan menyertai skuad negaranya dalam kejohanan terakhir sebelum Piala Dunia 2026 apabila membuat keputusan menarik diri bagi memberi ruang untuk berehat.
Skuad bimbingan Mauricio Pochettino akan bersaing dalam saingan Piala Emas pada Jun ini selepas mengharungi dua aksi persahabatan menentang Switzerland dan Turkiye di bumi sendiri.
Bagaimanapun, kelibat Pulisic yang beraksi cemerlang bersama AC Milan musim ini tiada dalam senarai skuad 27 pemain.
Menurut Pengarah Teknikal Bolasepak AS, Matt Crocker, permintaan untuk dikecualikan daripada tugasan antarabangsa datang sendiri daripada Pulisic dan pasukannya.
“Christian dan pasukannya menghubungi persekutuan serta barisan kejurulatihan untuk memohon ruang berehat musim panas ini, memandangkan jumlah perlawanan yang sangat padat sejak dua tahun lalu bersama kelab dan skuad kebangsaan tanpa rehat yang cukup,” kata Crocker dalam satu kenyataan.
“Selepas perbincangan teliti dan pertimbangan yang mendalam, kami sebulat suara bersetuju ini adalah masa terbaik untuk dia berehat sepenuhnya bagi memastikan persiapan ke tahap terbaik menjelang musim baharu.”
Selain Pulisic, beberapa pemain utama yang beraksi di Eropah juga tidak akan bersama skuad kali ini termasuk Weston McKennie dan Tim Weah yang terikat dengan komitmen dengan Juventus dalam Piala Dunia Kelab, serta Giovanni Reyna dari Borussia Dortmund yang turut menyertai kejohanan itu.
Pochettino menyokong penuh keputusan untuk membenarkan Pulisic berehat, dengan menyifatkan ia sebagai langkah terbaik untuk semua pihak.
“Ramai mungkin berpendapat penting untuk kami berkumpul buat kali terakhir sebelum Piala Dunia. Namun kami percaya ini adalah keputusan terbaik untuk dirinya, untuk pasukan dan juga untuk skuad kebangsaan,” kata bekas pengendali Chelsea itu.
“Kadangkala kita terlalu menekankan kepentingan untuk berkumpul, tetapi hakikatnya, proses pembinaan pasukan bukan semata-mata mengenai itu. Saya percaya cabaran ini penting dan kita tidak boleh meremehkan keperluan pemain.”
Ketiadaan bintang utama itu membuka ruang buat beberapa muka baharu menunjukkan taring mereka.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Sebastian Berhalter, pemain tengah Vancouver Whitecaps dan anak kepada bekas jurulatih skuad kebangsaan, Gregg Berhalter.
© New Straits Times Press (M) Bhd