WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth mengarahkan pengunduran kira-kira 5,000 anggota tentera dari Jerman dalam tempoh setahun akan datang, menurut Pentagon.
Pengumuman itu dibuat selepas Presiden, Donald Trump sebelum ini mengugut untuk mengeluarkan tentera dari sekutu NATO, Jerman, susulan pertikaian dengan Canselor, Friedrich Merz berhubung perang AS–Israel di Iran.
“Kami menjangkakan pengunduran ini akan diselesaikan dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang,” kata jurucakap Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian menyeluruh terhadap kedudukan pasukan AS di Eropah serta keadaan operasi semasa.
Ketegangan antara Washington dan Berlin meningkat selepas Merz menyatakan Iran ‘memalukan’ AS dalam rundingan, yang menyebabkan Trump mengkritiknya secara terbuka dan menuduhnya tidak memahami situasi.
Trump kemudian berkata, pentadbirannya sedang menilai kemungkinan pengurangan jumlah tentera AS di Jerman, sebelum memberi isyarat keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Trump berulang kali mengancam untuk mengurangkan kehadiran tentera AS di Jerman dan sekutu Eropah lain, dengan alasan negara Eropah perlu memikul tanggungjawab pertahanan sendiri.
Dalam kenyataan berasingan, beliau juga memberi isyarat kemungkinan pengunduran tentera dari Itali dan Sepanyol, sambil mengkritik kedua-dua negara itu kerana tidak menyokong operasi ketenteraan terhadap Iran.
Setakat Disember 2025, terdapat lebih 36,000 anggota tentera AS di Jerman, menjadikannya antara pangkalan terbesar Amerika di Eropah.
Namun, beberapa negara Eropah termasuk Jerman menyatakan mereka bersedia menghadapi kemungkinan pengurangan kehadiran tentera AS, walaupun menegaskan beberapa pangkalan utama seperti Pangkalan Udara Ramstein masih penting untuk keselamatan bersama NATO.-AFP




