AS tarik semula sekatan ruang udara bagi penerbangan di Carribean

AS tarik semula sekatan ruang udara bagi penerbangan di Carribean

Washington: Amerika Syarikat (AS) menerusi satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan sekatan ruang udara bagi penerbangan di Carribean, sudah ditamatkan.

Berikutan itu, penerbangan boleh disambung semula kerana jadual dikemas kini dengan cepat, kata Setiausaha Pengangkutan Sean Duffy.

Maklumat mengenai pembatalan ratusan penerbangan oleh syarikat penerbangan utama selepas serangan AS ke atas Venezuela dan penahanan presidennya, Nicolas Maduro dimuat naik menerusi satu hantaran di X.

Syarikat penerbangan utama United Airlines, American Airlines, Spirit dan Delta, bersedia untuk menyambung semula penerbangan ke Caribbean menjelang Ahad.

Dalam satu kenyataan, AS berkata, penerbangan ke San Juan di Puerto Rico dijadual pada malam Sabtu dan pihaknya menjangkakan untuk mengendalikan kebanyakan penerbangan berjadual ke rantau itu pada Ahad.

Delta Air Lines menjangkakan penerbangan seperti biasa dan mengikut jadual di Carribean pada Ahad, namun diselaraskan sejajar pelarasan semula sumbernya.

Sementara itu, American Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya bersiap sedia untuk ruang udara Caribbean Timur dibuka semula Ahad dan menambah lebih 3,700 tempat duduk tambahan ke dan dari wilayah itu selain menyambung semula perkhidmatan berjadual.

Menurut American Airlines, pihaknya mengendalikan penerbangan tambahan dan mengerahkan pesawat yang lebih besar untuk membantu penumpang terjejas susulan arahan penutupan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sebelum ini.

Dalam pada itu, Spirit Airlines dalam satu kenyataan melalui e-mel sudah berkata, ia menyambung semula penerbangan ke dan dari Caribbean pada 4 Januari, berikutan tamatnya arahan penutupan ruang udara oleh FAA.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan akan memerlukan beberapa hari untuk memulihkan operasi biasa, kata penganalisis syarikat penerbangan Robert Mann.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top