
Menurut Iran AS ‘pada dasarnya’ menerima cadangan 10 perkara yang bertujuan menamatkan perang – Foto: Agensi
ISTANBUL — Amerika Syarikat (AS) ‘pada dasarnya’ menerima cadangan 10 perkara yang bertujuan menamatkan perang, menurut Iran awal Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan oleh rangkaian Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB) milik kerajaan.
Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran dalam kenyataan memaklumkan cadangan itu akan menjadi rangka kerja untuk rundingan yang bertujuan memuktamadkan perjanjian yang lebih luas, namun tidak memperincikan rancangan tersebut.
IRIB, yang memetik kenyataan dan laporan berkaitan, berkata cadangan itu termasuk jaminan untuk tidak melakukan pencerobohan terhadap Iran, Iran terus mengawal Selat Hormuz, pengiktirafan hak Tehran untuk pengayaan uranium, penarikan semua sekatan primer dan sekunder AS, penamatan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Lembaga Agensi Tenaga Atom Antarabangsa terhadap Iran, pembayaran pampasan, pasukan tentera AS berundur dari Iran serta menamatkan permusuhan di semua lokasi termasuk di Lubnan.
Menurut majlis itu, rundingan tersebut tidak bermakna perang telah berakhir, sebaliknya menekankan bahawa sebarang perjanjian akhir bergantung pada jaminan kepentingan Iran dan pemuktamadan butiran.
Tambahnya, laluan selamat melalui Selat Hormuz akan dipastikan semasa tempoh rundingan melalui penyelarasan dengan angkatan tentera Iran.
Rundingan dijadualkan bermula pada Jumaat di Islamabad di bawah pengantaraan Pakistan dan akan berlangsung sehingga dua minggu, dengan kemungkinan dilanjutkan menerusi persetujuan bersama.
Presiden AS, Donald Trump berkata, sebelum ini Washington akan menangguhkan serangan ke atas Iran selama dua minggu, sambil menyifatkan cadangan Tehran sebagai ‘asas yang boleh dilaksanakan’ untuk rundingan.



