AS umum sekatan baharu terhadap industri minyak Iran

AS umum sekatan baharu terhadap industri minyak Iran

Washington: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Rabu memperketatkan sekatan terhadap industri minyak Iran, ketika Tehran terus menutup Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada perang di Timur Tengah.

Hukuman baharu itu menyasarkan infrastruktur pengangkutan minyak dengan mengenakan sekatan ke atas lebih dua dozen individu, syarikat dan kapal yang beroperasi dalam rangkaian perkapalan petroleum milik taikun Mohammad Hossein Shamkhani, menurut Jabatan Perbendaharaan.

“Perbendaharaan bertindak agresif dengan ‘serangan ekonomi’ menyasarkan golongan elit seperti keluarga Shamkhani yang cuba meraih keuntungan dengan mengorbankan rakyat Iran,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dalam satu kenyataan, merujuk kepada kempen tekanan kewangan terhadap Iran.

Shamkhani ialah anak kepada pegawai keselamatan Ali Shamkhani, penasihat kepada pemimpin tertinggi Iran Ali Khamenei, yang kedua-duanya terbunuh pada 28 Februari, hari pertama serangan AS-Israel dan permulaan perang Timur Tengah.

“AS bertindak tegas mengehadkan keupayaan Iran menjana pendapatan ketika ia cuba ‘menahan’ Selat Hormuz sebagai tebusan,” kata Jabatan Negara dalam kenyataan berasingan.

Iran secara efektif menutup Selat Hormuz, laluan penting untuk penghantaran minyak dan gas, sebagai tindak balas terhadap kempen perang AS dan Israel.

AS kini terbabit dalam sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.

Selasa lalu, Jabatan Perbendaharaan berkata, ia tidak akan melanjutkan pengecualian sementara sekatan membenarkan penjualan minyak Iran yang sudah berada di laut.

Langkah itu sebelum ini bertujuan meredakan tekanan terhadap harga minyak yang melonjak akibat perang.

AS mendakwa rangkaian Shamkhani, yang beroperasi di Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), mengelak sekatan melalui sekumpulan syarikat perundingan dan perkapalan yang kelihatan sah mengendalikan armada rangkaian itu.

Tahun lalu, AS mengenakan sekatan terhadap entiti yang dikaitkan dengan rangkaian itu.

Pada Rabu, Jabatan Perbendaharaan juga mengumumkan ia mengenakan sekatan terhadap seorang lelaki Iran bernama Seyed Naiemaei Badroddin Moosavi, yang digambarkan sebagai pembiaya bagi kumpulan Hizbullah disokong Iran, serta “tiga syarikat berkaitan dengan skim pengubahan wang haram yang kompleks membabitkan penjualan minyak Iran sebagai pertukaran untuk emas Venezuela.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top