Kuala Lumpur: Semua warganegara asing yang memohon visa pelajar dan pertukaran ke Amerika Syarikat (AS) kini diwajibkan untuk menetapkan akaun media sosial mereka kepada paparan umum, berkuat kuasa serta-merta.
Ia sebagai sebahagian daripada langkah penapisan identiti yang lebih ketat oleh Kerajaan Amerika Syarikat.
Keperluan baharu itu terpakai kepada semua pemohon visa bukan imigran kategori F, M dan J bagi memudahkan proses semakan latar belakang bagi tujuan pengesahan identiti dan kelayakan masuk di bawah undang-undang Amerika Syarikat, menurut Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia menerusi laman sesawang rasminya.
Langkah itu dibuat susulan Proklamasi Presiden yang menyekat kemasukan warga asing yang dianggap mengancam keselamatan negara atau keselamatan awam, yang berkuat kuasa pada 9 Jun 2025.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang Jabatan Negara Amerika Syarikat di www.travel.state.gov.
© New Straits Times Press (M) Bhd