Asalkan boleh tunggang! Rafizi minta PAS hati-hati, ubah pendirian ikut angin

Asalkan boleh tunggang! Rafizi minta PAS hati-hati, ubah pendirian ikut angin

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menempelak kepimpinan PAS yang didakwanya tidak konsisten dalam menyatakan pendirian berkaitan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman negara.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, dalam tempoh seminggu, PAS dilihat menukar pendirian sebanyak tiga kali sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Katanya, pada mulanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meletakkan syarat agar beliau menyertai perhimpunan ‘Turun Anwar’ sebelum parti itu bersetuju dengan cadangan penubuhan RCI.

Artikel lain: Tubuh RCI: PAS sedia sokong jika Rafizi sertai Himpunan Turun Anwar 26 Julai – Tuan Ibrahim

Rafizi minta PAS hati-hati, risau nampak bangang tunggang isu

Namun selepas menerima kecaman orang ramai, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari pula memaklumkan bahawa kenyataan Tuan Ibrahim bukanlah pendirian rasmi parti, sebaliknya PAS menyokong cadangan tersebut.

Bagaimanapun, kata Rafizi, sehari kemudian Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula mengeluarkan kenyataan berbeza dengan menegaskan pembangkang menolak penubuhan RCI.

“Dalam seminggu, PAS berubah pendirian tiga kali. Ini mirip kepada kebolehan PAS menjatuhkan hukuman yang berbeza-beza mengikut keadaan, asalkan boleh tunggang,” katanya menerusi kenyataan video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, isu kebebasan institusi kehakiman sepatutnya menjadi keutamaan semua pihak tanpa mengira kedudukan politik atau potensi keuntungan parti.

Namun, katanya, sikap pembangkang ketika ini menunjukkan mereka lebih berminat merebut kuasa berbanding memperjuangkan integriti badan kehakiman negara.

“Tapi akhirnya yang lebih bersuara adalah backbencher kerajaan kerana pembangkang hanya berminat nak ‘tebuk atap’ supaya dapat jadi menteri semula.
“Memang susah untuk tidak menunggang kalau satu-satunya strategi politik yang ada adalah menunggang. Tapi hati-hati, kalau PAS salah tunggang, nanti nampak bangang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Rafizi bersama lapan Ahli Parlimen PKR menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan beberapa kes mahkamah.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk pencalonan hakim yang tidak diangkat, pelantikan utama yang tergendala serta prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipersoalkan.

Sumber: FB Rafizi Ramli

Scroll to Top