Asean ambil pendekatan berhati-hati dalam isu Myanmar, kritikal untuk pastikan keamanan – PM

Asean ambil pendekatan berhati-hati dalam isu Myanmar, kritikal untuk pastikan keamanan – PM

Davos: Asean mengambil pendekatan penuh berhati-hati dalam isu berkaitan Myanmar kerana perkara paling kritikal adalah menjamin keamanan di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pendekatan Asean bukanlah dalam bentuk menguatkuasakan sistem tertentu, sebaliknya memastikan wujudnya keterangkuman dan keamanan, di samping kepentingan memelihara demokrasi.

“Petunjuk positif pertama dalam beberapa bulan kebelakangan ini adalah kesediaan untuk keterlibatan, dan saya memberi jaminan kepada mereka melalui hubungan rakan-rakan serta pelbagai agensi, terutamanya agensi perisikan, bahawa kami bukan di sini untuk mengenakan apa-apa tindakan.

“Tadbir urus sistem, walaupun dalam Asean, sedikit berbeza. Malaysia, Singapura, Vietnam, dan Laos juga mempunyai perbezaan. Selagi mereka mewakili beberapa bentuk demokrasi, kita tidak mengenakan apa-apa paksaan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika sesi Pleno Asean bertajuk Even Stronger Together, mengenai keutamaan Kepimpinan Asean-Malaysia 2025 dan peranan penting Asean dalam membentuk landskap ekonomi.

Beliau berkata, penglibatan dalam kalangan pihak berkuasa perisikan yang berpengaruh baru-baru ini telah menunjukkan sesuatu yang cukup meyakinkan, terutamanya dalam menetapkan parameter bagi memastikan adanya keterangkuman dalam menyelesaikan krisis.

“Perkara paling kritikal ialah keamanan mesti terjamin, dan anda tidak boleh dilihat meneruskan amalan diskriminasi atau apa yang dianggap sebagai keganasan, dilakukan terhadap minoriti atau mana-mana kumpulan.

“… perbuatan melengahkan tindakan akan bermakna penderitaan bagi ramai orang termasuk pelarian di Bangladesh dan juga di Malaysia, di mana terdapat 200,000 pelarian dari Myanmar. Ia benar-benar kejam untuk membiarkan perkara ini berterusan,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa Myanmar telah dimaklumkan mengenai keperluan untuk Asean mengambil pendirian yang kukuh kerana kegagalan dalam tadbir urus telah menjejaskan keamanan dan keselamatan di rantau ini.

Anwar juga berkata, Asean kekal komited untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk mencari penyelesaian yang mampan kepada krisis di Myanmar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top