ASEAN, Jepun perkukuh kerjasama strategik tangani krisis iklim

ASEAN, Jepun perkukuh kerjasama strategik tangani krisis iklim

am@hmetro.com.my

Langkawi: ASEAN dan Jepun memperkukuh kerjasama strategik menangani krisis iklim, kehilangan biodiversiti dan pencemaran plastik marin menerusi dialog peringkat menteri di sini, hari ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerjasama itu semakin signifikan apabila Jepun setuju kekal sebagai sekutu kukuh ASEAN menerusi sokongan teknologi, pembangunan kapasiti dan dana.

“Komitmen itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan ASEAN untuk menangani cabaran serantau, malah memperkukuh peranan bersama dalam mencapai matlamat global kelestarian iklim dan alam sekitar.

“Jadi, ASEAN amat berbesar hati dapat mengadakan dialog penting ini,” katanya ketika berucap pada Dialog Peringkat Menteri ASEAN-Jepun Ketiga Mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (AJMDEC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Johari berkata, dialog itu turut mencerminkan kesungguhan ASEAN dalam mengukuhkan solidariti dengan Jepun bagi memastikan tindakan kolektif dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“ASEAN dan Jepun membuktikan bahawa perkongsian dan solidariti adalah kunci ke arah masa depan yang mampan.

“Platform Inisiatif Kerjasama Alam Sekitar ASEAN-Jepun patut digunakan sebaiknya untuk menilai kemajuan, berkongsi amalan terbaik dan meneroka bidang baharu kerjasama,” katanya.

Beliau menegaskan, kerjasama erat ASEAN-Jepun adalah langkah berwawasan dan inklusif yang memberi manfaat nyata kepada rakyat serta generasi akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top