am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menyifatkan Asia Tenggara sebagai rantau yang membawa harapan dalam dunia yang bergolak, dengan kekuatan ekonomi, kepelbagaian budaya dan kepimpinan yang menyumbang kepada keamanan serta kestabilan global.
Katanya, ASEAN kekal sebagai rakan strategik penting kepada PBB menerusi Perkongsian Komprehensif ASEAN-PBB dan Pelan Tindakan ASEAN-PBB 2026-2030 bagi menghadapi ketidaktentuan global termasuk ketidaksamaan, perubahan iklim, konflik dan cabaran digital.
“PBB berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sambutan mesra serta mengalu-alukan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN.
“Salah satu detik paling bermakna dalam kehidupan politik saya ialah ketika menyaksikan kemerdekaan Timor-Leste pada tahun 2002.
“Perjalanan rakyatnya menuju demokrasi sentiasa dekat di hati saya,” katanya dalam ucapan kepada media sempena Sidang Kemuncak ASEAN-PBB di sini, hari ini.
Guterres menegaskan perlunya sistem kewangan global direformasi agar lebih adil, inklusif dan berkesan bagi membantu negara membangun mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.
“Masalah utama ialah sistem kewangan dunia yang lapuk. Ia mesti diubah bagi memberi suara lebih besar kepada negara membangun seperti anggota ASEAN.
“Saya mencadangkan supaya keupayaan bank pembangunan pelbagai hala dilipatgandakan dan beban hutang negara membangun dikurangkan menerusi mekanisme baharu yang dapat mempercepat bantuan serta mengurangkan risiko pinjaman,” katanya.
Mengulas isu iklim, beliau memberi amaran bahawa had 1.5 darjah Celsius kini ‘berada dalam keadaan tenat’ dan menyeru semua negara mengemukakan pelan iklim lebih berani menjelang Sidang COP30 di Brazil minggu depan.
“Inisiatif Perkongsian Peralihan Tenaga Adil di Indonesia dan Vietnam sebagai contoh kejayaan dalam menggabungkan keadilan sosial dengan cita-cita iklim.
“Negara maju mesti menunaikan janji untuk menggandakan pembiayaan penyesuaian iklim kepada sekurang-kurangnya AS$40 bilion tahun ini dan memperkukuh Tabung Kerugian dan Kerosakan dengan sumbangan bermakna,” katanya.
Sementara itu, dalam aspek digital, Guterres menekankan kepentingan kawal selia yang bertanggungjawab terhadap kecerdasan buatan (AI) agar sejajar dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
“PBB baru-baru ini melancarkan Dialog Global mengenai Tadbir Urus AI dan menubuhkan Panel Saintifik Bebas Antarabangsa dianggotai 40 pakar bagi menilai risiko dan peluang teknologi itu.
“Saya turut mencadangkan penubuhan tabung amanah AI dan rangkaian pusat AI serantau bagi membantu negara membangun meningkatkan kapasiti digital,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga inisiatif itu akan menjadi asas kepada rangka kerja global bagi memastikan AI digunakan secara selamat, terbuka dan inklusif.
Dalam pada itu Guterres memuji usaha ASEAN mempercepat rundingan Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC) dan mengalu-alukan Deklarasi Bersama Kemboja-Thailand bagi mengekalkan gencatan senjata.
Namun, beliau melahirkan rasa kecewa terhadap situasi tragis di Myanmar, menyifatkannya sebagai malapetaka demi malapetaka sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.
“Keganasan mesti dihentikan segera. Myanmar memerlukan dialog inklusif dan laluan kembali ke pemerintahan awam,” tegasnya.
Katanya, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN serta kerjasama antara Utusan Khas PBB Julie Bishop dan wakil ASEAN dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.
“Sebarang penyelesaian politik perlu merangkumi komuniti Rohingya yang terlalu lama menunggu keamanan dan keadilan.
“Sudah tiba masanya untuk membuka saluran kemanusiaan, menamatkan keganasan dan mencari penyelesaian politik menyeluruh. Rakyat Myanmar mengharapkan sokongan kolektif kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




