ASEAN konsisten sokong perjuangan rakyat Palestin

ASEAN konsisten sokong perjuangan rakyat Palestin

PETALING JAYA: Penderitaan rakyat Palestin masih menjadi antara isu paling utama dalam politik antarabangsa yang menyentuh nilai kemanusiaan sejagat.

Rakyat Palestin terus didera oleh penjajahan dan kekejaman rejim Zionis serta sekatan ekonomi yang menindas, sedangkan dunia masih mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan.

Dalam perkembangan terbaru, media antarabangsa melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih bagi mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Gaza.

Trump dilaporkan menyatakan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari, manakala Hamas pula memberi maklum balas positif terhadap cadangan tersebut.

Perkembangan itu disambut dengan reaksi berhati-hati namun optimistik oleh pelbagai negara. Sekiranya dilaksanakan, ia mampu menjadi permulaan baharu untuk menamatkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dan Tebing Barat.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) pada 8 hingga 11 Julai lalu, Malaysia memikul tanggungjawab besar untuk mengetuai suara serantau dalam menyokong pelaksanaan gencatan senjata dan usaha damai yang berkekalan.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, isu Palestin adalah perkara penting dalam agenda ASEAN dan akan dibincangkan secara serius dalam AMM-58 serta Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV).

CEAPAD IV, yang diketuai bersama oleh Malaysia, Jepun dan Palestin memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti, pemulihan infrastruktur penting di Palestin dan penyampaian bantuan kemanusiaan secara berkesan.

Platform itu juga dijangka menjadi saluran utama negara-negara Asia Timur, termasuk ASEAN, untuk menyatakan solidariti dan menyokong usaha pembinaan semula Palestin pasca konflik.

Pada Februari lalu, Menteri-Menteri Luar ASEAN turut mengulangi sokongan berterusan terhadap hak asasi rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan masa depan sendiri serta mendapatkan semula tanah air mereka.

Mereka turut menggesa penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan tahun 1967 selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Resolusi UNGA A/RES/ES-10/23 yang disokong sebulat suara oleh semua negara anggota ASEAN.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 25 Mei lalu, menegaskan bahawa ASEAN tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman dan penindasan Zionis terhadap rakyat Gaza.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk tidak bersikap selektif dalam menangani isu kemanusiaan dan menyokong penyelesaian dua negara seperti yang digariskan dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Sebelum ini, Malaysia juga lantang menyuarakan pendirian di forum antarabangsa. Dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah pada 7 Mac, Mohamad Hasan menegaskan bahawa Israel harus dipertanggungjawabkan dan dihentikan daripada terus melakukan operasi ketenteraan serta membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.

ASEAN secara konsisten mempertahankan prinsip keadilan, kedaulatan dan hak rakyat Palestin untuk hidup dalam aman dan bermaruah. Pendekatan tegas dan bersatu ini juga selari dengan matlamat utama ASEAN sebagai suara berprinsip dalam isu-isu kemanusiaan sejagat.

AMM-58 menjadi medan terbaik untuk ASEAN mempertegaskan pendirian dan meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel supaya menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Sebagai pusat diplomasi serantau, Malaysia kini mengorak langkah memimpin ASEAN ke arah suara yang lebih lantang, bersatu dan tegas dalam menyuarakan kebenaran tentang nasib rakyat Palestin. – UTUSAN

Scroll to Top