Setiap kali persaingan kuasa besar memuncak, Asia Tenggara dihadapkan dengan soalan yang sama, Washington atau Beijing. Soalan itu kedengaran mudah. Namun jawapan rantau ini ternyata jauh lebih fleksibel daripada yang disangka. Sekiranya pilihan rantau ini begitu mudah beralih, siapakah yang sebenarnya memegang kemudi keselamatan Asia Tenggara?
ISEAS-Yusof Ishak Institute, sebuah institut penyelidikan hal ehwal Asia Tenggara di Singapura, memberikan petunjuk melalui laporan tinjauan tahunan The State of Southeast Asia edisi 2026 yang dilancarkan pada 7 April 2026. Apabila 2,008 responden dari 11 negara diminta memilih sekiranya ASEAN terpaksa berpihak, China mendapat sokongan 52 peratus berbanding 48 peratus bagi Amerika Syarikat. Setahun sebelumnya, kedudukan itu terbalik dengan Amerika Syarikat mendahului pada 52.3 peratus.
Jika diperhalusi, angka itu lebih tepat dibaca sebagai keputusan seri berbanding kemenangan mana-mana pihak. Jurang empat mata peratusan masih kecil, manakala anjakan 4.3 mata dalam tempoh setahun memperlihatkan betapa fleksibelnya kecenderungan rantau ini. Fleksibiliti itu ada nilainya, memandangkan rantau ini enggan terikat kepada mana-mana kuasa.
Kebebasan tersebut bagaimanapun perlu disokong oleh kerjasama serantau yang kukuh agar negara anggota mampu menjaga kepentingan bersama. ASEAN diharapkan menjadi pasak kestabilan melalui keupayaannya menyelaraskan tindakan negara anggota ketika berdepan persaingan kuasa besar. Namun, tinjauan yang sama mendapati responden bimbang ASEAN lambat bertindak dan kurang berkesan. Ertinya, ASEAN perlu memperkukuh keupayaannya sendiri untuk memainkan peranan tersebut.

Dilema inilah yang dibawa Malaysia ke Cebu, Filipina pada 28 Oktober 2026. Dalam dua mesyuarat tidak rasmi bersama Amerika Syarikat dan Jepun, Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan pendirian yang sama kepada kedua-duanya. Pendekatan ASEAN tidak pernah berkisar pada soal memilih pihak. ASEAN mesti kekal teguh di kerusi pemandu dalam menentukan rakan serta keutamaan kerjasamanya.

Pendirian itu menjawab kedua-dua dapatan tadi. Keengganan untuk berpihak menjawab soal pilihan yang mudah beralih. Keupayaan sendiri pula menjawab persepsi bahawa ASEAN lambat. Satu hal yang jelas, kerusi pemandu hanya bermakna apabila kedua-dua tuntutan itu dipenuhi serentak.
Berkecuali Tanpa Pendirian?
Sikap enggan berpihak kerap disalah tafsir sebagai tanda ASEAN tiada pendirian. Profesor Hubungan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuik Cheng-Chwee, membaca sikap ini melalui konsep ‘hedging’. Negara kecil dan sederhana di rantau ini mengelak berpihak sepenuhnya kepada mana-mana kuasa besar sambil membina pilihan sandaran sekiranya keadaan berubah. Secara mudahnya, ‘hedging’ ialah polisi insurans. Strategi ini menuntut hubungan erat dengan semua pihak tanpa menyerahkan keputusan strategik kepada sesiapa.
Strategi ini memerlukan gelanggang. ASEAN sudah lama membinanya. Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) yang ditubuhkan pada 2010 dan diadakan setiap tahun sejak 2017 menghimpunkan menteri pertahanan ASEAN bersama lapan rakan dialog, termasuk Amerika Syarikat, China, Rusia dan Jepun. Hanya segelintir forum di dunia mampu mendudukkan kuasa-kuasa yang bersaing ini di meja yang sama.

Di gelanggang itulah Malaysia bercakap secara terus-terang dengan Washington. Dalam pertemuan bersama Setiausaha Perang Amerika Syarikat, Pete Hegseth, Malaysia mengalu-alukan kehadiran Amerika Syarikat sebagai negara Pasifik dan mengharapkan peranannya lebih kukuh. Bagaimanapun, ASEAN yang bersatu dan berdaya tahan melengkapkan peranan Amerika Syarikat, malah menjadi asas kepada kerjasama yang lebih bermakna. Ujiannya hadir pada 2027, apabila Malaysia menantikan rangka kerja kerjasama pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat sempena ulang tahun ke-50 hubungan dialog kedua-dua pihak.
Namun kejayaan ini menyimpan satu ironi. Kuasa-kuasa besar sanggup duduk di meja ASEAN memandangkan ASEAN tidak mengancam sesiapa. Sifat yang sama ini adakalanya yang menyebabkan ASEAN dilihat lambat dan kurang berkesan. Pertanyaannya, mampukah ASEAN menjadi lebih berkesan tanpa kehilangan keupayaan menghimpunkan semua pihak?
Keupayaan Tanpa Kebergantungan
Pada dasarnya, jawapannya terletak pada jenis keupayaan yang dibina. ASEAN tidak perlu menjadi pakatan ketenteraan untuk menjadi berkesan. Keupayaan berfungsi seperti pemantauan gencatan senjata dan bantuan bencana mampu menjadikan ASEAN lebih berkesan tanpa menimbulkan kebimbangan mana-mana kuasa. Hubungan Malaysia dengan Jepun misalnya memperlihatkan caranya.
Seminggu sebelum ke Cebu, Menteri Pertahanan mengadakan lawatan kerja ke Jepun dari 18 hingga 21 Oktober 2026, lawatan pertama sejak beliau memegang jawatan. Dokumen Official Security Assistance (OSA) 2026 bernilai ¥1.65 bilion, atau kira-kira RM40 juta, bagi sistem anti-dron ditandatangani. Bantuan ini menyusul OSA 2023 bernilai ¥400 juta untuk 14 pesawat tanpa pemandu dan tujuh bot penyelamat, serta OSA 2025 bernilai ¥3.1 bilion.

Sisi yang benar-benar membekas ialah sebahagian OSA 2025 diperuntukkan untuk peralatan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) di sempadan Thailand-Kemboja. Jepun menyumbangkan sumber, manakala mekanisme dan keputusannya kekal milik ASEAN.
Susunan inilah yang dituntut Malaysia dalam mesyuarat ASEAN-Jepun di Cebu, iaitu kerjasama yang mengelak kebergantungan jangka panjang. Menariknya, tinjauan ISEAS yang sama meletakkan Jepun sebagai kuasa besar paling dipercayai di rantau ini, walaupun Jepun sendiri sekutu rapat Amerika Syarikat. Kepercayaan itu kelihatannya dibina melalui bantuan yang menguatkan rakan, berbanding tuntutan supaya rakan berpihak.
Dalam lawatan ke Jepun itu, perolehan melalui urusan antara kerajaan yang disertai pemindahan teknologi turut dibincangkan, selaras dengan sasaran kandungan tempatan minimum 30 peratus dalam Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN). Namun, manfaat pemindahan teknologi bergantung pada kesediaan industri tempatan untuk memahami dan menggunakannya.
Keperluan ini dihuraikan melalui konsep ‘absorptive capacity’ atau kapasiti serapan oleh Wesley Cohen dan Daniel Levinthal pada 1990. Kedua-dua sarjana pengurusan tersebut menjelaskan bahawa keupayaan sesebuah organisasi menyerap pengetahuan luar bergantung pada pengetahuan yang sudah dimilikinya. Bagi industri pertahanan tempatan, ini bermakna pemindahan teknologi perlu disertai pembangunan tenaga mahir dan asas pengetahuan yang membolehkan teknologi tersebut dikuasai.
Atas dasar itu, industri pertahanan tempatan mesti membina jurutera dan kemudahan ujian lebih awal daripada ketibaan teknologi. Bantuan luar tanpa kapasiti serapan ibarat menumpang kapal orang. Lambat-laun, nakhoda kapal itulah yang menentukan haluan.
Mampukah ASEAN Memandu Sendiri?
Tujuh Kumpulan Kerja Pakar (EWG) akan memasuki kitaran keenam bagi 2027 hingga 2030. Program pemerhati EWG bagi kitaran 2024 hingga 2027 pula sudah membuka ruang kepada Kanada, Perancis, Jerman, Türkiye dan United Kingdom. Malaysia menyokong keterbukaan ini dengan syarat ASEAN yang menentukan pihak yang terlibat serta keutamaan kerjasama.
Keterbukaan ini perlu mengambil kira kapasiti negara anggota yang berbeza-beza. Di ADMM-Plus ke-13 pada 29 Oktober 2026, Menteri Pertahanan menuntut agar rakan dialog menghormati setiap negara anggota ASEAN tanpa pengecualian. Dalam kerjasama praktikal, rasa hormat itu wajar diterjemahkan kepada agenda yang mampu dipikul oleh anggota yang paling terhad sumbernya. Fleksibiliti dalam pelaksanaan lebih signifikan daripada senarai komitmen yang terus memanjang.

Dari sudut yang lebih kritikal, kelemahan paling sukar diatasi datang dari dalam. Sekiranya setiap cadangan baharu diterima begitu sahaja, agenda serantau akhirnya ditulis oleh pihak yang paling banyak menawarkan bantuan. ASEAN mungkin menang sorak dengan senarai kerjasama yang panjang, tetapi kampung tergadai apabila keutamaannya sendiri tenggelam.
Maka, ASEAN mesti hadir ke setiap pertemuan dengan senarai keupayaan yang disepakati bersama bagi setiap kitaran EWG. Bantuan rakan dialog wajar mengisi jurang yang dikenal pasti oleh ASEAN sendiri.
Secara total, pendirian yang dibawa Menteri Pertahanan ke Cebu mempunyai asas yang kukuh. Kayu ukur yang diletakkan beliau juga wajar dipegang setiap negara anggota, iaitu kekuatan sesuatu perkongsian dinilai melalui sumbangannya kepada keamanan dan daya tahan rantau.
Sekiranya ASEAN berjaya membina keupayaan berfungsi dan menyusun agendanya sendiri, soalan Washington atau Beijing akan kehilangan sebahagian besar tekanannya. Jika gagal, ASEAN kekal sebagai tuan rumah yang dihormati, tetapi tuan rumah yang agendanya ditentukan oleh tetamu.
Penulis: Oo Cheng Keat
Beliau merupakan Pengarah Program Sains Politik dan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM).





