'ASEAN mesti kekal tegas, bersatu'

'ASEAN mesti kekal tegas, bersatu'

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pendekatan yang terbuka, namun tegas dan bersepadu mesti menjadi daya penggerak dalam usaha menyelesaikan sebarang isu membabitkan negara ASEAN, termasuk pertikaian di Laut China Selatan dan konflik di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua pihak yang terbabit, sama ada negara anggota atau rakan dialog ASEAN perlu mengutamakan keselamatan serantau dalam setiap tindakan, terutama apabila kedudukan geografi mengikat antara negara.

“Dalam menghadapi cabaran ini, ASEAN mesti kekal tegas dan bersatu. Keraguan atau perpecahan hanya akan menggalakkan perpecahan yang lebih besar dan menyebabkan peningkatan kumpulan minilateral yang boleh menjejaskan kepusatan ASEAN.

“Justeru, adalah penting untuk kita mengamalkan semangat perkongsian, mengelakkan peningkatan ketegangan dan menghormati undang-undang antarabangsa yang mengikat kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di sini, hari ini.

Mohamad berkata, sebagai Penyelaras Negara ASEAN bagi China dari Ogos 2024 hingga Julai 2027, Malaysia kekal komited untuk memperjuangkan kepentingan bersama negara serantau, terutama dalam usaha memuktamadkan Kod Tatakelaku (COC) di Laut China Selatan.

Sementara itu, dalam menyelesaikan krisis di Myanmar, Mohamad berkata, ia mesti dipandu dengan tekad dan pembabitan aktif pihak yang terbabit.

Jika tidak diselesaikan, pelbagai masalah dalaman akan timbul merentasi sempadan, dalam bentuk jenayah rentas negara, aliran pelarian dan ketidakstabilan sosioekonomi yang lebih meluas.

“Usaha menangani krisis Myanmar memerlukan bukan saja usaha seluruh kerajaan dan masyarakat tetapi juga komitmen seluruh rantau terhadap usaha membina keamanan.

“Ia akan menjadi proses yang panjang, yang mesti diterajui rakyat Myanmar sendiri dan disokong ASEAN, satu laluan yang berasaskan kepercayaan, bukan paksaan.

“Justeru, Pengerusi ASEAN yang akan datang mesti terus menunjukkan keazaman dan keteguhan pendirian serta sentiasa mengingati semangat perpaduan yang menyatukan rantau ini,” katanya.

Mohamad berkata, konflik sempadan antara negara berjiran, iaitu Thailand dan Kemboja pada tahun ini juga menimbulkan kebimbangan dalam komuniti ASEAN.

Bagaimanapun katanya, hasil usaha pengantaraan yang berterusan, ketegangan itu kini reda selepas kedua-dua negara memilih jalan diplomasi dan dialog untuk menyelesaikan perbezaan.

“Sebagai Pengerusi, Malaysia terharu atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk memudah cara usaha ini dan kami kekal komited sepenuhnya untuk menyokong kedua-dua negara berkenaan.

“Kami menantikan pemeteraian perjanjian gencatan senjata secara rasmi, dan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN pada sidang kemuncak ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top