MALAYSIA mengorak langkah strategik menyatukan belia serantau melalui teknologi dan kemahiran menerusi penganjuran Cabaran Robotik Belia ASEAN 2025 (ASEAN Y-RoboC’25) yang berlangsung di Kelantan pada Khamis.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penganjuran itu bukan sekadar pertandingan, tetapi platform yang menonjolkan kepentingan inovasi digital dalam persiapan tenaga kerja masa hadapan.
“Cabaran ini menghimpunkan belia dari seluruh Asia Tenggara yang menampilkan ciptaan inovasi digital masing-masing.
“Ia juga bukan sekadar pertandingan, tetapi satu gerakan serantau yang mencerminkan semangat perpaduan, kreativiti dan aspirasi bersama belia ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ASEAN Y-RoboC’25 di sebuah pasar raya di Tunjong, di sini pada Khamis.
Menurut beliau, penyertaan belia dari seluruh Asia Tenggara membuktikan kesatuan yang terbentuk atas dasar inovasi digital dan perkongsian kepakaran, selari dengan tema ASEAN 2025: Keterangkuman dan Kemampanan.
Sebanyak 12 pasukan dari 10 negara ASEAN, termasuk Timor-Leste yang kini berstatus pemerhati, mengambil bahagian dalam cabaran robotik selama tiga hari tersebut, mempamerkan hasil ciptaan dan kebolehan teknikal masing-masing.
Cabaran itu berlangsung serentak dengan Hari Kerjaya Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Timur 2025.
Program berkenaan turut menjadi antara agenda utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelang Kepengerusian ASEAN 2025 yang akan diterajui oleh Malaysia.
Dalam masa sama, Hannah turut menekankan bahawa TVET akan kekal sebagai landasan utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan negara.
Justeru itu, Hari Kerjaya TVET Zon Timur 2025 menggabungkan enam ILKBS utama dari Kelantan, Terengganu dan Pahang bersama 16 syarikat industri serta agensi kerajaan bagi membuka peluang kerjaya secara langsung kepada para pelajar.
“Kami mahu cipta lebih banyak platform untuk pelajar TVET asah bakat mereka,” ujar Hannah.
Beliau turut memaklumkan bahawa graduan ILKBS kini mencatat kadar kebolehpasaran melebihi 95 peratus, dengan ramai antara mereka berjaya mendapatkan pekerjaan, memulakan perniagaan sendiri atau menyambung pelajaran.
Pencapaian itu, menurutnya, selari dengan hasrat negara untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030, berteraskan Dasar TVET Negara dan pelan strategik ASEAN bagi pembangunan belia.