
Laporan analisis oleh Center for Strategic and International Studies. Foto Agensi
WASHINGTON – Peralatan ketenteraan milik Amerika Syarikat (AS) dianggarkan bernilai antara AS$2.3 bilion hingga AS$2.8 bilion (kira-kira RM9.1 bilion hingga RM11.1 bilion) dilaporkan musnah dalam konflik berterusan melibatkan perang dengan Iran, menurut sebuah badan pemikir berpangkalan di Washington, DC.
Laporan analisis oleh Center for Strategic and International Studies (CSIS) menyatakan kerugian tersebut melibatkan pelbagai aset udara seperti pesawat radar, sistem pertahanan peluru berpandu serta peralatan pengawasan strategik yang digunakan di rantau Asia Barat.
Antara insiden utama yang direkodkan ialah kemusnahan sebuah pesawat amaran awal udara (AWACS/E-3) bernilai kira-kira AS$700 juta (RM2.7 bilion) dalam serangan ke atas Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi pada Mac lalu.
Pesawat tersebut berfungsi sebagai pusat kawalan udara bergerak yang mengesan ancaman jarak jauh serta menyelaraskan operasi ketenteraan.
Selain itu, sistem radar pertahanan peluru berpandu THAAD turut dilaporkan mengalami kerosakan besar, dengan anggaran kerugian antara AS$485 juta (RM1.9 bilion) hingga AS$970 juta (RM3.8 bilion).
Sistem ini digunakan untuk mengesan serta memintas ancaman peluru berpandu balistik dan hipersonik.
Laporan sama turut menyebut beberapa insiden ‘tembakan sahabat’ yang melibatkan pesawat pejuang F-15 di Kuwait, sekali gus menambah kepada jumlah keseluruhan kerugian aset udara AS di rantau berkenaan.
Penganalisis keselamatan pertahanan, Mark Cancian berkata, sebahagian besar kerugian tersebut berpunca daripada serangan dron dan peluru berpandu Iran yang menyasarkan aset berteknologi tinggi milik AS di lokasi strategik.
Menurut beliau, konflik itu turut mendedahkan cabaran besar kepada keupayaan pertahanan AS, khususnya dalam mempertahankan infrastruktur ketenteraan di rantau yang berdepan ancaman serangan jarak jauh secara berterusan.
Laporan itu juga menegaskan angka kerugian tersebut tidak merangkumi aset laut serta kerosakan di pangkalan-pangkalan lain, yang berkemungkinan menjadikan jumlah sebenar lebih tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada keselamatan laluan strategik seperti Selat Hormuz, sekali gus mencetuskan tekanan terhadap rantaian bekalan tenaga global serta peningkatan harga minyak antarabangsa.



